YAMAN – Bandaraya Sana’a ibu kota negara Yaman lumpuh apabila negara yang sedang bergolak itu mengalami kehabisan bekalan bahan api.
Seorang penduduk, Ridhwan Sari’ berkata, tidak ada sebuah kenderaan pun, kecuali sebuah bas sahaja yang meluncuri jalan-jalan raya berdebu bumi Sana’a.
“Tiada kenderaan di Sana’a hari ini, kereta dan juga bas. Saya pergi ke Babul Yaman (Di pusat bandaraya) tunggu bas dari zohor sehingga maghrib tiada kenderaan untuk balik,
“Orang ramai menunggu bas tapi bas tidak kunjung tiba” ujarnya ketika menghubungi pihak kami melalui pesanan ringkas semalam pada sabtu 3 Mei.
Menurutnya kekurangan bekalan petrol telah menyebabkan pemilik kenderaan menukar bekalan api kepada penggunaan gas.
Akan tetapi apabila serangan berterusan yang dilakukan oleh pakatan Saudi ke atas bandaraya ini menyebabkan bekalan gas telah habis.
Pesawat perang milik pakatan Saudi mula membedil bandaraya Sana’a kira-kira sebulan yang lalu.









