Israel Lepas Kutipan Cukai Palestin Yang Dibekukan

803

Israel berkata pada hari Jumaat ia akan melepaskan berjuta-juta dolar daripada pendapatan cukai kepada Pihak Berkuasa Palestinian, tiga bulan selepas rejim Yahudi itu membekukan pembayaran tersebut.

Langkah Israel itu dilihat sebagai usaha untuk membina semula ‘jambatan hubungan antarabangsa’, terutamanya dengan Rumah Putih,Amerika Syarikat.

Israel menghentikan pemindahan bulanan sebanyak $ 130 juta daripada cukai dan duti kastam yang dikumpulkan bagi pihak Pihak Berkuasa Palestin pada bulan Januari selepas pihak Palestin memfailkan kes ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Sejak itu, rejim Zionis itu telah memegang lebih daripada $ 500 juta wang rakyat Palestin menyebabkan Pihak Berkuasa Palestin terpaksa memotong sebahagian besar daripada gaji pekerja awamnya.

_81958181_81958180Palestin mengalami defisit perbelanjaan kira-kira 15 peratus dan pemberhentian pemindahan cukai itu menyekat dua pertiga daripada pendapatannya.

Keadaan ekonomi Palestin semakin parah dengan kadar pengangguran berada pada 25 peratus meningkatkan ancaman ketidakstabilan dan keganasan.

Namun cukai yang bakal diberikan itu akan ditolak dengan pembayaran perkhidmatan Israel kepada warga Palestin seperti bekalan air dan caj hospital.

“Hasil cukai yang terakru sehingga Februari akan dipindahkan, diimbangi oleh pembayaran bagi perkhidmatan yang diberikan kepada penduduk Palestin, seperti bekalan elektrik, air dan kemasukan ke hospital,”menurut kenyataan dari pejabat Netanyahu.

Keputusan itu dibuat kerana, menurut kenyataan itu, untuk menjaga kepentingan Israel pada masa ini.

“Memandangkan keadaan keselamatan dan keamanan yang semakin merosot di Timur Tengah, seseorang mesti bertindak dengan penuh tanggungjawab dan dengan pertimbangan yang sewajarnya di samping perjuangan bertekad terhadap unsur-unsur ekstremis,”menurut kenyataan itu lagi.