Bantahan dan keganasan meletus di ibu negara Mesir apabila pasukan keselamatan bertempur dengan orang ramai yang membantah keputusan mahkamah membuang pertuduhan terhadap Hosni Mubarak.
Bekas diktator yang menjadi presiden Mesir selama 30 tahun itu bebas dari tuduhan melakukan pembunuhan ke atas penunjuk perasaan semasa kebangkitan pada tahun 2011.
Ekoran pertempuran dengan pihak berkuasa, seorang dilaporkan meninggal dunia manakala berpuluh-puluh cedera apabila pasukan keselamatan Mesir menembak penunjuk perasaan dengan peluru hidup dan getah, berhampiran Dataran Tahrir.
Sekitar 2,000 orang berkumpul untuk membantah keputusan mahkamah menolak tuduhan pembunuhan terhadap Hosni Mubarak, Menteri Dalam Negeri dan enam pembantu lain yang menyebabkan kematian hampir 900 dalam pemberontakan selama 18 hari pafa 2011, yang menggulingkan rejim zalim itu.
Mubarak dan anak-anaknya, Alaa dan Gamal, juga dibebaskan oleh Ketua Hakim Mahmoud Kamel al-Rashidi daripada pertuduhan rasuah, berkaitan dengan eksport gas ke Israel.
Hakim itu berkata terlalu banyak masa telah berlalu sejak kejahatan yang didakwa berlaku bagi mahkamah untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.
Sebagai reaksi terhadap keputusan itu, Mubarak menafikan tanggungjawab untuk kematian penunjuk perasaan , dalam panggilan telefon dengan stesen televisyen tempatan.
Mubarak, 86, bagaimana pun tidak dibebaskan selepas keputusan mahkamah semalam, Sabtu kerana beliau didapati bersalah pada bulan Mei lalu.
Beliau disabitkan dalam kes lain, berkaitan dengan kecurian dana awam, dan telah menjalani hukuman tiga tahun, di bawah tahanan rumah atas sebab-sebab perubatan, di sebuah hospital mewah tentera, di pinggir bandar Kaherah mewah.










