Kira-kira 7,000 tahanan Palestin di penjara-penjara Israel ‘mogok lapar’ selama sehari pada hari Rabu bagi membantah kematian rakan-rakan mereka.
“Tahanan Palestin di semua penjara Israel telah memulakan mogok lapar sebagai protes terhadap kematian rakan-rakan banduan Raed Abdel Salam al-Jaabari di penjara Eshel pada hari Selasa,”kata pihak berkuasa berkait tahanan Palestin dalam satu kenyataan.


Seorang bekas menteri Palestin yang baru sahaja dibebaskan dari penjara Israel berkata, peningkatan kekejaman di penjara berlaku semasa Israel menyerang Gaza baru-baru ini.
“Mereka menghalang lawatan keluarga dan menafikan hak tahanan untuk membeli keperluan mereka dari kafeteria penjara,” Khaled Abu Arafa memberitahu Agensi Anadolu.
Pada hari Selasa, pihak berkuasa penjara Israel mengunci tahanan Palestin dalam sel-sel mereka dan menafikan rehat harian selama 4 jam setiap hari.
Pihak berkuasa penjara sebelum ini meningkatkan tahap berjaga-jaga berikutan kematian al-Jaabari, 37.
Radio Israel memetik kenyataan oleh Perkhidmatan Penjara sebagai berkata bahawa tahap amaran telah ditingkatkan kerana takut berlaku rusuhan di kalangan banduan yang marah.


Pihak berkuasa Israel telah melancarkan kempen penahanan besar-besaran di Tebing Barat yang diduduki berikutan kehilangan tiga peneroka haram Yahudi pada 12 Jun.
Sekitar 2,000 rakyat Palestin telah pun ditahan dan 40 yang lain dibunuh oleh tentera Israel.
Kira-kira 500,000 warga yahudi Israel kini tinggal pada lebih daripada satu ratus kawasan penempatan untuk Yahudi sahaja, yang dibina sejak Israel merampas Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur pada tahun 1967.
Undang-undang antarabangsa melihat Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai “wilayah yang diduduki” dan menganggap semua bangunan penempatan Yahudi di atas tanah Palestin adalah haram.
Palestin mahu kawasan-kawasan ini, bersama-sama dengan Semenanjung Gaza, untuk sebuah negara Palestin yang bebas.




























