Lima Negara Amerika Latin Menarik Keluar Duta dari Israel

909

El Salvador pada Rabu menjadi negara Amerika Latin kelima untuk menarik balik dutanya dari Israel sebagai bantahan terhadap serangan tentera Israel di Gaza.

Brazil, Chile, Ecuador dan Peru telah memanggil semula duta masing-masing.

Kementerian Luar Israel dalam kenyataannya berhubung perkara tersebut pada Rabu sebaliknya menyalahkan Hamas kerana terus menyerang Israel dengan roket.

Terdahulu Israel telah mengkritik Brazil atas keputusan untuk menarik balik dutanya kerana memprotes serangan tentera rejim Israel ke atas Gaza.

Brazil adalah salah satu daripada 29 negara dalam Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang mengundi Rabu lalu untuk menyiasat Israel ke atas serangan ketenteraan di Gaza.

Semasa lawatan negara oleh Presiden China Xi Jinping pada 17 Julai, Presiden Brazil Dilma Rousseff berkata negaranya telah “sangat bimbang dengan peristiwa-peristiwa dramatik” di Gaza.

Angka kematian Palestin dari serangan dahsyat Israel ke atas Semenanjung Gaza meningkat kepada 1283, menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza.

Menurut jurucakap itu, sekurang-kurangnya 7170 orang Palestin juga cedera dalam serangan berterusan Israel sejak 7 Julai.