Tanda Putera: Sambutan Penonton Menceritakan Segalanya

1176

Filem Tanda Putera yang cuba dijaja dan diketengahkan ke tengah masyarakat untuk tontotan umum di pawagam semakin lesu daripada perhatian masyarakat. Sehingga kini setelah beberapa minggu ia ditayangkan, filem tersebut masih gagal memikat hati penonton dengan jualan tiket dan kehadiran penonton yang mengecewakan.

Dengan promosi besar-besaran yang dibuat, publisiti meluas melalui pelbagai medium dan perancangan yang hebat namun akhirnya ‘ia semakin kecundang’ dengan sambutan dingin penonton. Malah, filem ini jauh ketinggalan berbanding filem komedi lainnya yang ringan dan rileks membariskan bintang filem terkenal tahanair. Boleh dikatakan ia dianggap suatu ‘pelaburan yang tidak berbaloi’ bagi penerbit dan pihak yang terlibat menghasilkannya.

Dalam hal ini, masyarakat bijak menilai sesuatu dan melihat filem ini membosankan. Responsnya dapat dilihat melalui sambutan yang diterima dalam setiap tayangannya. Seharusnya pengarah, penerbit dan semua yang terlibat dalam pembikinan filem ini membacanya dengan penuh keinsafan. Selepas ini usahlah disalahkan pula rakyat yang tidak mahu menontonnya dengan pelbagai tuduhan liar dan berat sebelah, kerana masyarakat lebih tahu memenuhi citarasa mereka. Usahlah pula dipaksa rakyat menontonnya melalui pelbagai cara, kerana rakyat tidak mahu terikat dengan doktrin yang dipaksakan ke atas mereka.

Filem ini akhirnya menyetujui bahawa bukan kesemua idea dengan memberi gambaran atau persepsi buruk sesetengah pihak seperti menanam sentimen perkauman diterima oleh semua rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia cintakan keamanan dan kesejahteraan dan mereka hidup dalam dalam keadaan harmoni dalam pelbagai budaya dan adat. Rakyat menolak sentimen perkauman sempit yang cuba diserapkan dalam jiwa dan minda mereka. Rakyat bencikan sejarah yang dipolitikkan demi kepentingan sesetengah pihak.

Tambahan pula, rakyat rakyat Malaysia juga membaca sejarah dan tahu susur galur perjuangan generasi terdahulu sehingga sekarang. Rakyat tahu motif sesuatu isu yang ingin disampaikan termasuk melalui filem dan sambutan dinginnya menceritakan segala-galanya. Tanda Putera menjadi cermin bahawa kesemua pihak perlu berlaku adil dalam menceritakan atau menggambarkan sesuatu melalui filem mereka.

KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia