Petugas Media HKR #112 Dihalang, Kenapa Tag Polis Menjadi Syarat?

1290
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita12/HKR%20tag%20media%20polis.jpg

berkaitan insiden petugas media KAMI yang dihalang dari memasuki Stadium Merdeka atas alasan tidak mempunyai tag media yang dikeluarkan oleh pihak polis.

Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI),  Terengganu telah mengeluarkan kenyataan sebelum ini, menghargai niat baik pihak polis terhadap petugas media dalam mengeluarkan tag khas tetapi dalam masa yang sama KAMI telah menegaskan bahawa perkembangan ini diteliti dengan penuh kecurigaan.

Mengeluarkan tag khas supaya wartawan boleh dikenali dan tidak menjadi mangsa ‘tersalah pukul’ oleh anggota polis, dicurigai apakah ini bermakna pihak polis telah memasang niat yang salah untuk mengulangi semula insiden pesta membelasah orang awam yang tak bersenjata, tak melawan dan tak berdaya semasa himpunan itu kelak? Inilah kebimbangan KAMI sebelum ini walaupun ianya akhirnya tak berlaku.

Dengan lain makna, keputusan KAMI untuk tidak memohon tag polis adalah di atas prinsip tidak bersetuju dengan pendekatan polis di peringkat awal yang hanya bersedia memberi jaminan keselamatan kepada wartawan tetapi bagaimana dengan orang awam yang lain?

KAMI telah menegaskan , wartawan, pengamal media serta rakyat biasa, samada siapa pun mereka, semua mereka mempunyai hak yang dilindungi perlembagaan untuk menghadiri sebarang himpunan aman di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, termasuklah HKR #112. Peranan pihak polis adalah untuk memberi kerjasama sepenuhnya supaya ianya berlangsung dengan aman dan penuh ketertiban.

Anehnya… yang menghalang petugas media KAMI atas alasan tidak mempunyai tag polis bukannya pihak polis tetapi penganjur HKR #112! Sepanjang himpunan berlangsung tak ada seorang pun anggota polis yang bertugas di pintu masuk stadium.

Persoalannya lagi, kenapa penganjur HKR #112 tidak memaklumkan bahawa tag polis menjadi syarat wajib untuk media membuat liputan atau pun penganjur boleh mengeluarkan tag media sendiri.

Petugas media KAMI pula untuk makluman penganjur HKR #112, mereka bukanlah wartawan ‘cabuk’ atau ‘prebet’. Mereka adalah wartawan berdaftar yang mepunyai tag media dikeluarkan Kementerian Penerangan dan Komunikasi.

Setelah melalui pengalaman perit dalam himpunan-himpunan sebelum ini apabila petugas media dibelasah, ditendang dan diterajang oleh pihak polis, tiba-tiba di HKR #112 media perlu menyembah pihak polis demi untuk mendapatkan sekeping tag yang sebenarnya tidak dikuatkuasa pun oleh pihak polis sepanjang himpunan berlangsung tetapi pihak penganjur pula yang ‘lebih sudu dari kuah!’

‘Kecerdikan’ pihak penganjur HKR #112 akhirnya dibalas oleh pihak polis dengan mengeluarkan kenyataan dakwaan bahawa himpunan telah melanggar syarat-syarat himpunan! Nah! Lumayan bukan?

KAMI berpendirian bahawa syarat-syarat boleh diletakkan, tetapi jangan sampai menafikan prinsip-prinsip asas demokrasi dan kebebasan media.

Tahniah dari pihak KAMI di atas kejayaan penganjuran HKR #112 tetapi dalam masa yang sama KAMI melahirkan kekecewaan dan bantahan di atas apa yang telah berlaku yang diyakini bukan hanya melibatkan petugas KAMI, tetapi juga media lain yang telah mempertahankan prinsip untuk tidak memohon tag polis.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)
Terengganu
13 Januari, 2013