KUALA LUMPUR – Perjuangan membebaskan Palestin tidak boleh terhenti sekadar menyalurkan bantuan kemanusiaan, sebaliknya mesti digerakkan melalui tekanan politik, diplomatik, ekonomi dan perundangan antarabangsa.
Penegasan itu disuarakan Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi untuk menamatkan pendudukan serta mengembalikan hak rakyat Palestin ke tanah air mereka.
“Penyertaan PAS dalam persidangan berkenaan membuktikan komitmen berterusan parti itu membawa suara perjuangan Palestin ke pentas antarabangsa,
“khususnya dalam menuntut pembebasan menyeluruh, pemulihan kedaulatan dan pengembalian hak rakyat Palestin (*Right of Return*),” tegasnya.
Dr Muhammad Khalil berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertajuk “Palestine: From Political Positions to Meaningful Action” dalam Persidangan Antarabangsa ‘Europe for Palestine: Towards Justice and Accountability pada 20 hingga 21 November lalu di Madrid, Sepanyol.
Menurut beliau, masyarakat antarabangsa, khususnya negara-negara Eropah, perlu bergerak melangkaui retorik politik dan deklarasi solidariti dengan mengambil tindakan yang benar-benar memberi kesan terhadap pendudukan serta kekejaman rejim Israel.
“Terdapat empat agenda utama yang perlu digerakkan secara serius, iaitu memperkukuh tekanan politik dan diplomatik, menggembleng peranan institusi parlimen,
“memperkasakan mekanisme keadilan antarabangsa serta membina jaringan strategik global melalui tindakan susulan yang konsisten dan tersusun.” jelasnya.
Antara perkara yang turut ditekankan, kata beliau ialah keperluan memperkukuh peranan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap dakwaan jenayah genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dibawa ke muka pengadilan.
“Persidangan yang menghimpunkan tokoh politik, ahli parlimen, pakar undang-undang antarabangsa dan aktivis kemanusiaan pelbagai negara itu turut menampilkan tokoh penting seperti Francesca Albanese, Dr. Mustafa Barghouti dan Mandla Mandela.
“Perbincangan yang berlangsung turut membawa dimensi penting berkaitan kebertanggungjawaban undang-undang antarabangsa, masa depan perjuangan nasional Palestin serta pengalaman Afrika Selatan menentang sistem apartheid melalui solidariti dan tekanan antarabangsa,” jelasnya lagi.
Dalam kenyataan media itu, Lujnah Antarabangsa PAS Pusat turut menegaskan bahawa tiada negara atau pemimpin seharusnya kebal daripada pertanggungjawaban undang-undang antarabangsa, apatah lagi apabila berdepan dakwaan jenayah serius terhadap kemanusiaan.
Delegasi PAS yang menyertai persidangan tersebut turut disertai Ahli Parlimen Sik, YB Ahmad Tarmizi Sulaiman; Ahli Parlimen Kuala Krai, YB Abdul Latiff Abdul Rahman serta Bendahari Lujnah Antarabangsa PAS Pusat, Haji Adram Musa.
“Penyertaan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperluas jaringan politik, diplomatik, perundangan dan kemanusiaan PAS di peringkat antarabangsa, selain memperkukuh solidariti bersama masyarakat dunia yang memperjuangkan hak rakyat Palestin,” tambahnya.
Mengakhiri kenyataan, PAS menegaskan pendirian untuk terus istiqamah memperjuangkan pembebasan Palestin serta mengembalikan hak, maruah dan kedaulatan rakyatnya, selaras dengan tuntutan keadilan sejagat.









