KUALA TERENGGANU – Seramai 30 anggota Jabatan Amal Malaysia Kawasan Besut kini berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir susulan keadaan cuaca semasa di daerah berkenaan.
Komandan Jabatan Amal Besut, Mohd Luqman Hakim berkata, keadaan setakat ini masih terkawal, namun pihaknya sentiasa bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang perubahan keadaan yang memerlukan tindakan segera.
“Setakat ini masih terkawal, walaubagaimanapun berada dalam keadaan standby,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, anggota Jabatan Amal Besut ditempatkan di Pejabat PAS Besut sebagai lokasi persediaan dan bilik gerakan bagi memantau perkembangan semasa.
Selain itu, Jabatan Amal Besut turut menyiapkan Skuad Bantuan Banjir bagi membantu masyarakat sekiranya berlaku bencana, termasuk operasi bantuan dan pemindahan penduduk yang terjejas.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa serta mengelakkan aktiviti bermain atau meredah kawasan banjir bagi menjaga keselamatan diri.
“Bagi mendapatkan bantuan sekiranya berlaku bencana, orang ramai boleh menghubungi Ketua Operasi Tuan Zulhilmi bin Halim di 010-906 4126, manakala Suk Bilik Operasi Encik Musa (011-1085 8624) dan Encik Azim (011-6110 9906).
“Amal sedia membantu masyarakat sekiranya keadaan memerlukan,” ujarnya.









