Terengganu, Malaysia

PAS Terengganu Gerakkan Seluruh Jentera Semua Peringkat Hadapi PRU16

PAS Terengganu Gerakkan Seluruh Jentera Semua Peringkat  Hadapi PRU16

KUALA TERENGGANU – Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) mula menggerakkan ‘enjin’ parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang susulan berlangsungnya Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 2.0 dan Pelancaran jenteranya.

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Husain Awang berkata, kejayaan Himpunan yang dihadiri ribuan pengunjung itu adalah semboyan kebangkitan untuk seluruh jentera parti bergerak dengan lebih tersusun.

“Semboyan pilihan raya telah ditiupkan. Cukuplah dengan semboyan ini untuk kita semua bangkit.

“Jentera yang terdiri daripada pelbagai segmen masyarakat perlu bergerak dengan kesatuan matlamat, komitmen tinggi dan kesediaan memikul tanggungjawab perjuangan demi mempertahankan kemenangan dan mencipta kejayaan yang lebih cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan penghargaan hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau mewakili BPPNT merakamkan terima kasih kepada semua petugas yang bertungkus-lumus sejak hari pertama persiapan hingga program selesai.

Secara khusus, beliau merakam penghargaan kepada PAS Kawasan Dungun selaku tuan rumah yang melayan para hadirin serta menjayakan Sambutan 70 Tahun PAS Kawasan Dungun.

Ustaz Husain turut menghargai jasa Jabatan Amal Malaysia Negeri Terengganu serta semua petugas keselamatan, lalu lintas dan kebajikan yang memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang acara berlangsung.

Selain itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua sayap parti; Dewan Ulamak, Dewan As Sabiqun, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda, dan petugas daripada kesemua lapan PAS Kawasan di Terengganu yang menggerakkan kehadiran peserta dan kerja di lapangan.

Penghargaan sama turut beliau titipkan kepada petugas media, teknikal, logistik dan kebersihan yang bertugas di sebalik tabir, di samping para penderma dan orang ramai yang hadir memenuhi ruang himpunan.

“Saya mendoakan agar semua petugas mendapat ganjaran terbaik daripada Allah SWT,

“sambil menyeru mereka supaya terus merapatkan barisan dan menguatkan gerak kerja demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri Terengganu.” tegas beliau.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan