DUNGUN, 19 November 2026 – Himpunan Teguh Memimpin Terengganu 2.0 (TMT2.0) adalah medan tanda sokongan kepada kepimpinan negeri yang terus mengutamakan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Yang Dipertua PAS Dungun, Dato’ Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata Himpunan Teguh Memimpin Terengganu 2.0 dijangka menjadi antara medan penting untuk menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh ukhuwah, kemesraan dan semangat kebersamaan.
“Seluruh rakyat Terengganu, khususnya warga Dungun, diseru hadir beramai-ramai bagi memeriahkan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu 2.0 yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 November ini di Dewan Arena Merdeka, Dungun,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Menurutnya, pelbagai pengisian menarik telah disusun bagi memastikan himpunan kali ini menjadi platform pertemuan masyarakat dari seluruh pelosok negeri.
“Orang ramai juga berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik serta mengunjungi gerai-gerai jualan yang disediakan sepanjang program berlangsung.
“Kami menjemput seluruh rakyat Terengganu, khususnya warga Dungun, agar mengambil peluang ini untuk hadir bersama keluarga dan sahabat handai. Ayuh kita pakat memeriahkan himpunan ini,” ujarnya.









