Terengganu, Malaysia

Terengganu Catat Sifar Miskin Tegar 2026

Terengganu Catat Sifar Miskin Tegar 2026

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Negeri Terengganu berjaya merekodkan angka sifar bagi golongan miskin tegar berdasarkan pangkalan data e-Kasih sehingga Oktober tahun ini, selain mencatatkan penurunan ketara bagi kategori miskin.

Pengerusi Lajnah Kebajikan Dan Keprihatinan Sosial PAS Terengganu YB. Haji Maliaman Kassim memaklumkan, jumlah Ketua Isi Rumah (KIR) miskin berkurangan sebanyak 15,639 KIR, iaitu daripada 37,439 KIR pada Januari 2026 kepada 21,800 KIR setakat Oktober 2026.

“Pencapaian ini didorong oleh pelaksanaan pelbagai program bantuan di bawah empat inisiatif utama Sejahtera MADANI yang memberi manfaat kepada seramai 10,061 penerima dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM52.73 juta sepanjang tahun ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, YB. Sulaiman Sulong pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Daripada jumlah tersebut, kata beliau, kluster perumahan mencatatkan peruntukan tertinggi sebanyak RM41.57 juta bagi kerja-kerja bina baharu dan baik pulih rumah yang memberi manfaat kepada 624 penerima.

“Ini diikuti oleh inisiatif peningkatan pendapatan berjumlah RM7.55 juta kepada 1,069 peserta eKasih merangkumi bantuan peralatan perniagaan, kursus kemahiran TVET, program usahawan digital serta pertanian.”ujarnya

Selain itu, Ustaz Maliaman berkata, sebanyak RM1.90 juta disalurkan di bawah kluster kebajikan kepada 4,583 peserta melalui agihan bakul makanan, peralatan kesihatan pesakit kronik dan bantuan awal bencana.

“manakala kluster pendidikan menerima RM1.71 juta bagi membantu 3,785 pelajar menerusi bantuan kelengkapan sekolah, peranti digital dan program kecemerlangan akademik.

“Tumpuan kita bukan sekadar menyalurkan bantuan kebajikan semata-mata, tetapi turut memperkasakan ekonomi peserta eKasih melalui peralatan perniagaan dan latihan kemahiran serta memastikan anak-anak mereka mendapat sokongan pendidikan yang sewajarnya,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Ustaz Maliaman menambah, berdasarkan statistik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dari 1 Januari hingga 21 Oktober 2026, seramai 952 KIR direkodkan dalam kategori fakir (miskin tegar) manakala 28,168 KIR dikategorikan sebagai miskin di seluruh negeri.

“Bagi tempoh sama, MAIDAM telah mengagihkan bantuan zakat sosial dan ekonomi berjumlah RM117.42 juta kepada 57,943 KIR, selain menyalurkan RM12.60 juta bagi bantuan pendidikan yang memanfaatkan seramai 12,517 pelajar anak asnaf miskin.” tegas beliau

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan