KUALA TERENGGANU– Kerjasama erat antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) sejak hari penamaan calon disifatkan antara faktor utama kemenangan besar gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, YB Dato’ Ustaz Ariffin Deraman berkata, PN-BN memperoleh 15,305 undi berbanding 8,698 undi yang diraih Pakatan Harapan (PH), sekali gus mencatat majoriti 6,607 undi.
Menurutnya, gerak kerja jentera PN-BN yang semakin tersusun selepas penamaan calon turut dilihat mengatasi PH dari segi kekuatan dan kehadiran di lapangan.
“Kerjasama antara PN dan BN bermula daripada hari penamaan calon lagi. Dari sehari ke sehari sehingga malam keputusan, PN-BN mendominasi gerak kerja di kawasan yang ditandingi,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, pendekatan ziarah dan pertemuan secara langsung dengan pengundi termasuk kelompok pengundi Umno turut memberi gambaran positif terhadap penerimaan kerjasama berkenaan.

“Memang ada sebahagian pengundi yang bertanya mengenai kerjasama ini, tetapi apabila kita beri penjelasan, mereka sangat gembira dan ia diterjemahkan dengan undi yang sangat besar,” ujarnya.
Ariffin berkata, PAS Terengganu turut menggerakkan lebih 1,000 petugas secara bergelombang bagi membantu jentera PN-BN di Melaka.
Katanya, empat gelombang jentera negeri, kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) digerakkan dengan setiap gelombang bertugas antara lima hingga enam hari, selain kira-kira 30 petugas kekal berada di lokasi sejak sehari sebelum penamaan calon sehingga malam keputusan.
“Ini adalah satu kejayaan bersama. Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh jentera Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, kawasan-kawasan dan DUN yang membantu serta petugas tempatan,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kemenangan Bukit Katil sebagai gambaran bahawa kerjasama PN-BN mempunyai potensi untuk diperkukuhkan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
l
Ariffin berkata, pengalaman gerak kerja di Melaka turut memberi keyakinan kepada PAS bahawa kerjasama antara jentera PN dan BN boleh diteruskan bagi memperluaskan pengaruh gabungan berkenaan di negeri-negeri lain.
“Alhamdulillah, ini adalah satu kejayaan bersama dan hubungan yang dibina ini perlu diperkukuhkan lagi insyaAllah dan gambaran untuk dari segi signifikan keputusan PRN Melaka dan selepas ini kita lihat insyaAllah Johor, Negeri Sembilan, Melaka.
“PNBN telah kuasai dan kita yakin Pahang, Selangor Perak InsyaAllah cuma Pulau Pinang ni 50-50.
“InsyaAllah Kalau kena cara kita akan berjaya untuk menguasai semua negeri dan insyaAllah bila dah kita kita berjaya membirukan Semenanjung, kita yakin Sabah dan Sarawak akan bersama dengan PNBN. Bila berlaku pilihan raya pada tahun hadapan PNBN akan menguasai Putera Jaya InsyaAllah,” jelasnya.








