Terengganu, Malaysia

Bersyukur Atas Kemenangan, Penghargaan Buat Jentera Pilihan Raya

Bersyukur Atas Kemenangan, Penghargaan Buat Jentera  Pilihan Raya

KUALA TERENGGANU – Kesyukuran tidak terhingga atas kejayaan calon memperoleh mandat rakyat dan setinggi-tinggi penghargaan kerana pengorbanan yang berjuang penuh komitmen, tenaga dan kesungguhan .

Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ustaz Haji Husain bin Awang berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas, khususnya jentera PAS Terengganu yang turun membantu gerak kerja sepanjang pilihan raya berlangsung.

“Pengorbanan masa, tenaga dan kesungguhan para petugas yang sanggup meninggalkan keluarga serta tanggungjawab harian demi melaksanakan amanah yang diberikan amat kami hargai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, setiap sumbangan yang diberikan, sama ada daripada barisan pimpinan mahupun petugas di lapangan, mempunyai nilai tersendiri dan menjadi sebahagian daripada kekuatan gerak kerja pilihan raya.

Penghargaan turut diberikan kepada seluruh jentera PAS Melaka, kepimpinan dan petugas Perikatan Nasional (PN) serta Barisan Nasional (BN), termasuk pasukan penerangan, media, logistik, keselamatan, sukarelawan dan semua pihak yang bekerja secara langsung mahupun di belakang tabir.

Dalam kenyataan sama, beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon PAS, PN dan BN yang berjaya memperoleh mandat rakyat dalam PRN Melaka Ke-16.

“Semoga kesepakatan yang terjalin antara PN dan BN dapat diterjemahkan kepada pentadbiran yang stabil, adil serta mengutamakan kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan kecenderungan politik,” ujarnya.

Mengulas keputusan pilihan raya itu, beliau turut menyentuh pencapaian Pakatan Harapan (PH) yang hanya memperoleh empat daripada 24 kerusi yang ditandingi, sekali gus menjadi mesej yang perlu diberi perhatian oleh gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, calon yang belum memperoleh mandat rakyat turut diberikan penghargaan atas komitmen dan kesungguhan sepanjang menghadapi persaingan demokrasi.

“Kepada mereka yang diberikan amanah sebagai wakil rakyat, ingatlah bahawa kemenangan bukan sekadar satu kejayaan politik, sebaliknya tanggungjawab besar yang perlu ditunaikan dengan penuh kejujuran, keadilan dan keinsafan,” tegas beliau.

Tambahnya, kepentingan rakyat hendaklah sentiasa mengatasi segala perbezaan politik agar mandat yang diberikan dapat diterjemahkan melalui khidmat dan tanggungjawab yang terbaik.

“PAS Terengganu turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, selain berterima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pasukan keselamatan dan semua petugas yang memastikan proses demokrasi berlangsung dengan teratur,” katanya.

Beliau berharap berakhirnya PRN Melaka membuka lembaran baharu ke arah kestabilan, kebaikan dan kesejahteraan seluruh rakyat negeri itu.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan