Kini, wilayah Asia Barat sedang terbakar akibat peperangan, yang dikatakan berpunca daripada perbezaan antara mazhab Sunni dengan mazhab Syiah, antara kebangsaan Arab dengan Parsi, sehingga dikaitkan dengan penentangan Islam dan Majusi yang sudah ketinggalan zaman. Sebenarnya, tujuannya adalah demi menjaga keamanan Israel dan sekutunya.
Hal ini disebabkan keselamatan harta dan takhta dianggap lebih penting daripada membebaskan Bait al-Maqdis. Maka, kedudukan Selat Hormuz dan Bab al-Mandab dipertahankan kerana kedudukannya yang penting dalam menjaga kepentingan-kepentingan tersebut, yang lebih diutamakan dan diletakkan lebih penting daripada Masjid al-Aqsa yang juga dinamakan Bait al-Maqdis .
Bait al-Maqdis merupakan bumi yang dimakmurkan oleh Nabi Ibrahim AS dan menjadi bumi para anbiya’ serta tanah suci bagi umat Islam, Yahudi dan Kristian. Namun, Allah menegaskan bahawa umat Islam paling berhak. Hal ini dinyatakan melalui firman-Nya:
مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٦٧ إِنَّ أَوۡلَى ٱلنَّاسِ بِإِبۡرَٰهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا ٱلنَّبِيُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۗ وَٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٨
“Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukanlah (pula) seorang Nasrani, akan tetapi dia adalah seorang yang lurus lagi berserah diri (kepada Allah) dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang Musyrik. (67) Sesungguhnya, orang yang paling dekat kepada Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad), berserta orang-orang yang beriman (kepada Muhammad), dan Allah ialah Pelindung semua orang yang beriman. [68]” [Surah Ali ‘Imran: 67–68]
Betapa mulianya Masjid al-Aqsa dan bumi kelilingnya yang diberkati, yang wajib dipertahankan oleh semua umat Islam, bukan bangsa Arab sahaja. Walaupun berbeza mazhab dan berlainan bangsa, namun mereka telah disatukan oleh Islam yang sama rukunnya, iaitu menyembah Tuhan yang sama, Allah Yang Maha Esa yang tiada sekutu bagi-Nya, al-Quran dan Sunnah Nabi yang sama, serta menghadap ke arah kiblat yang sama.
Sekalipun terdapat perbezaan dalam perkara furu‘ dan ada segelintir yang melakukan perkara bidaah dan kesesatan disebabkan oleh kejahilan, perkara tersebut wajib diselesaikan dan diislahkan oleh para ulama’ secara ilmu dalam masalah dalaman, bukan sehingga mencetuskan peperangan yang membakar sesama sendiri, sebagaimana yang pernah berlaku sehingga mencetuskan Perang Teluk yang besar beberapa kali.
Krisis yang berlaku kini adalah antara kerajaan-kerajaan yang lahir selepas pengkhianatan menjatuhkan khilafah oleh para pemimpin yang bekerjasama dengan penjajah musuh Islam. Para pemimpin yang terlibat kemudiannya dilantik menjadi pemimpin kerajaan bagi wilayah-wilayah yang dibahagi-bahagikan dalam kalangan kuasa penjajah. Kerajaan-kerajaan yang ditabalkan oleh penjajah pula menjadikan mereka sebagai raja, amir dan pemimpin, bersama dengan wujudnya negara Yahudi Zionis yang dinamakan Israel.
Bahkan, turut diwujudkan pangkalan tentera semua negara penjajah di setiap negeri atas nama menjaga keamanan dan keselamatan. Sebenarnya, semua itu hanya untuk membantu Israel, menjaga sumber minyak dan tenaga yang berharga, serta menjaga takhta yang dianugerahkan kepada para pemimpin yang berjasa menjatuhkan kerajaan Islam, kuasa besar ‘Uthmaniyyah pada masa lalu.
Kedudukan Teluk Parsi bersama Selat Hormuz dan Yaman bersama Bab al-Mandab yang merupakan pintu masuk Laut Merah, telah menjadi kawasan rebutan semua kuasa besar dunia sejak zaman dahulu kala, dan berterusan sehingga kini.
Pernah pada zaman dahulu, Yaman diperintah oleh kaum Yahudi yang melakukan peristiwa Ukhdud yang diceritakan dalam al-Quran. Kemudian, Yaman diserang oleh Habsyah di bawah pimpinan panglima Abrahah yang pernah menyerang Makkah, sebelum kemudiannya diperintah oleh Parsi.
Pada zaman Rasulullah SAW, Yaman diperintah oleh Islam apabila Bazan bin Sasan RA (kemudiannya tergolong dalam kalangan sahabat) menjadi ketua wilayahnya bagi pihak Parsi. Kemudian, beliau terus menjadi ketua pemerintah yang dilantik oleh Rasulullah SAW dan berada di bawah kuasa Islam sehingga kini. Betapa pentingnya perkara ini sehingga dinyatakan oleh al-Quran:
لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ ١ إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ ٢ فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ ٣ ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۢ ٤
“Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (1) (Iaitu) kebiasaan mereka berpergian pada musim dingin dan musim panas. (2) Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Kaabah). (3) Yang telah memberi makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4)” [Surah Quraisy: 1–4]
Yaman ialah pangkalan wilayah timur dunia yang menjadi sumber perdagangan, yang menghubungkan antara Makkah dengan Syam sebagai pangkalan perdagangan wilayah barat dunia.
Adapun kuasa besar Parsi dan jajahan takluknya diislamkan pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA dan tidak lagi beragama Majusi. Kuasanya hilang mendahului kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah apabila Shah Iran berjaya dipengaruhi oleh penjajah yang mengepung ‘Uthmaniyyah dengan menggunakan perbezaan mazhab Syiah dan bangsa Parsi bagi memecahbelahkan umat Islam. Sehinggakan, Iran menjadi sebahagian daripada negara blok Barat bersama Israel dalam menghadapi Islam, bersama Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kamal Ataturk.
Setelah berlaku kebangkitan semula Islam sehingga jatuhnya Shah Iran, berlaku islah dalam mazhab Syiah Imamiyyah dan lemahnya kumpulan sekular di Turki, maka gerakan menghalang kebangkitan semula kuasa Islam yang berdaulat kembali dilaksanakan. Strategi menghalang dan melemahkannya dilakukan melalui tindakan menentang semua kumpulan Islam serta mengepung Republik Islam Iran dengan tindakan politik, ekonomi, media, sehinggalah ketenteraan.
Bahkan, turut menggunakan pengaruh terhadap negara yang telah dirancang penubuhannya melalui gabungan politik, ekonomi, media dan ketenteraan. Hal ini ternyata benar dan dapat disaksikan melalui kerajaan-kerajaan yang bertindak terhadap semua gerakan Islam yang bersifat parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Selain itu, turut berlaku campur tangan dalam urusan pelajaran dan pendidikan, serta menyebarkan kefahaman negatif terhadap Islam seperti isu Islamofobia, keganasan atas nama Islam dan lain-lain .
Semua kemenangan parti Islam dalam pilihan raya walaupun secara demokrasi yang menjadi kebanggaan mereka, dibatalkan dengan tindakan undang-undang yang sengaja dicipta atau secara kekerasan, dengan menghalalkan kediktatoran yang mereka sendiri haramkan, namun dihalalkan apabila digunakan untuk menentang Islam.
Semua negara umat Islam tanpa mengira ideologi, mazhab dan bangsa, menjadi sasaran serangan secara ganas sehingga melampaui undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Serangan ganas terhadap Afghanistan, Iraq, Libya, Iran, Yaman, Somalia, Sudan dan negara-negara umat Islam yang lain pula sedang menunggu giliran.
Mana-mana negara yang didapati mempunyai kelemahan untuk melawan kebangkitan Islam akan dicaturkan melalui rampasan kuasa atau perang proksi yang sengaja dicetuskan. Di samping itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut digunakan melalui semua unitnya. Antaranya, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang dibatalkan kuasanya, begitu juga Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang dibendung melalui kuasa veto.
Kedudukan Teluk Parsi dan Laut Merah yang menghubungkan tiga benua besar dunia menjadikannya kawasan paling panas dalam sejarah dunia sejak dahulu kala hingga kini. Keadaan menjadi agak tenang di bawah pemerintahan kerajaan Islam yang menjadi kuasa besar dunia kerana hanya Islam yang bersifat kemanusiaan sejagat, yang tidak menghalang manusia hidup bermasyarakat. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan serta menjadikan kamu daripada pelbagai bangsa dan suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
Kebangkitan Islam yang berlaku di seluruh dunia dan kejayaan Revolusi Islam di Iran yang menjatuhkan Shah serta perubahan ke arah Islam di Turkiye, walaupun masih dibendung, diikuti pula dengan kemenangan Hamas di Palestin yang mencetuskan Taufan al-Aqsa. Kemudian, kemaraan gerakan Islam di beberapa negara ini telah menggerakkan kuasa-kuasa besar dunia, khususnya Amerika Syarikat, Israel dan sekutunya, untuk bertindak bagi membendung kebangkitan dan penguasaan Islam.
Mereka bergerak seperti pasukan bala tentera Ahzab dengan mengumpulkan pelbagai kumpulan yang menentang Islam serta golongan munafiq untuk menghadapi kebangkitan tersebut, khususnya di kawasan yang paling strategik dalam laluan perdagangan dan perjalanan antarabangsa. Antaranya ialah Selat Hormuz dan Bab al-Mandab, termasuk Laut China Selatan, Selat Melaka, Terusan Suez, sehingga Selat Gibraltar, Selat Bosporus dan Jalan Sutera. Tambahan pula, kedudukan Bab al-Mandab dan Selat Hormuz sebagai laluan utama sumber tenaga terbesar dunia menjadikannya kawasan yang menjadi rebutan yang paling panas.
Serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, diikuti serangan bertubi-tubi ke atas Yaman oleh semua negara Teluk, serta serangan yang dilakukan oleh Israel, Amerika Syarikat dan Eropah, dan kini dengan menggunakan Arab Saudi, adalah kerana pentingnya kedudukan Bab al-Mandab, khususnya bagi keselamatan Israel dan sekutunya. Ia bukan semata-mata kerana mazhab Syiah al-Houthi yang terlalu kecil jumlahnya dan telah bercampur dengan masyarakat Sunni. Bahkan, sebenarnya majoriti besar penduduk Yaman adalah Sunni bermazhab Syafi‘i.
Namun, seluruh penduduk Yaman terkenal dengan semangat jihad yang kuat sejak zaman Rasulullah SAW, menjadikannya antara masyarakat yang paling keras menentang Israel dan sekutunya yang membelasah Gaza yang kecil selepas Taufan al-Aqsa. Peristiwa tersebut telah menggoncang dunia apabila Israel berjaya dikalahkan oleh Muqawamah Islamiah yang dimulakan oleh Harakah al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas).
Senjata lama digunakan kembali untuk memporak-perandakan umat Islam dengan perpecahan melalui perbezaan mazhab dan bangsa. Digunakan kembali senjata lama yang pernah berjaya menjatuhkan umat Islam sehingga kehilangan khilafah, suatu kewajipan penting yang disyariatkan oleh Allah dan menjadi peranan manusia di alam dunia. Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]
Mereka menentang Islam dan umatnya secara menyeluruh tanpa mengira bangsa dan mazhab. Adapun umat Islam pula berpecah kerana menghabiskan masa dan tenaga dalam pertelingkahan mazhab dan bangsa, serta mengejar harta dan takhta, bukan menunaikan kewajipan ibadah, khilafah dan amanah untuk menegakkan keadilan serta menentang kezaliman.
Oleh yang demikian, umat Islam wajib bersatu padu dan kembali kepada perintah asal Allah supaya bersatu serta mengharamkan perpecahan. Firman Allah SWT:
وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ ١٠٣ وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤ وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَٱخۡتَلَفُواْ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُۚ وَأُوْلَـٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١٠٥
“Dan berpeganglah kamu semuanya pada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk. (103) Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma‘ruf, dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. (104) Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat. (105)” [Surah Ali ‘Imran: 103–105]
Kita berada dalam perjuangan yang wajib menyatukan umat Islam, iaitu menentang kezaliman Zionis dan membebaskan Bait al-Maqdis, yang tidak ada khilaf padanya dalam kalangan semua mazhab dan bangsa yang menganut Islam. Sahutlah seruan Allah SWT:
وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦
“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Makkah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Taghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75–76]
Serta membuat persediaan yang diwajibkan menerusi perintah Allah SWT:
وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ وَمِن رِّبَاطِ ٱلۡخَيۡلِ تُرۡهِبُونَ بِهِۦ عَدُوَّ ٱللَّهِ وَعَدُوَّكُمۡ وَءَاخَرِينَ مِن دُونِهِمۡ لَا تَعۡلَمُونَهُمُ ٱللَّهُ يَعۡلَمُهُمۡۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيۡءٖ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ يُوَفَّ إِلَيۡكُمۡ وَأَنتُمۡ لَا تُظۡلَمُونَ ٦٠
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa-apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang, (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedangkan Allah mengetahuinya. Apa-apa saja yang kamu nafkahkan di jalan Allah, nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” [Surah al-Anfal: 60]
Tinggalkan perjuangan berperang bagi pihak Yahudi Zionis dan Amerika Syarikat demi mempertahankan Selat Hormuz dan Bab al-Mandab, serta demi menjaga takhta dan harta yang menjadi hadiah kerana menjatuhkan khilafah bersama musuh yang tidak pernah reda terhadap Islam. Firman Allah SWT:
وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ ١٢٠
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah, ‘Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar).’ Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” [Surah al-Baqarah: 120]
Penilaian dan ukuran menentukan kebenaran ialah menolak sesiapa yang bersama musuh Islam, iaitu Israel, Amerika Syarikat dan sekutunya, serta berperang disebabkan kepentingan Selat Hormuz dan Bab al-Mandab bukan kerana perbezaan mazhab.
Umat Islam wajib bersama pihak yang dimusuhi oleh kumpulan Ahzab bukan Islam kerana berjuang membebaskan Bait al-Maqdis dan menyelamatkan saudara seagama yang diganyang di Gaza. Bahkan, haram bersikap berkecuali atau menjadi pendamai yang melucutkan senjata rakyat Palestin yang berjuang, sedangkan pada masa yang sama membenarkan Israel dengan segala jenis senjata melakukan keganasan yang paling melampau.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 26 Jumada al-Ula 1448 H / 6 November 2026
[Bil: 72 / 2026]










