Terengganu, Malaysia

Pemuda PAS-Umno Capai Persefahaman, Buka Ruang Kerjasama

Pemuda PAS-Umno Capai Persefahaman, Buka Ruang Kerjasama

KUALA TERENGGANU – Perbezaan wadah perjuangan politik bukan penghalang kepada usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama demi kepentingan agama, bangsa serta negeri apabila kepimpinan Pemuda PAS dan Umno Terengganu mengadakan pertemuan bagi mencari titik persamaan, hari ini.

Pemangku Ketua Pemuda PAS Terengganu, YB Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, pertemuan hampir dua jam bersama Ketua Pemuda Umno Terengganu dan barisan kepimpinan utama kedua-dua pihak itu berlangsung dalam suasana mesra serta terbuka.

Menurutnya, pelbagai pandangan dikongsi sepanjang pertemuan berkenaan sehingga beberapa persefahaman berjaya dicapai, sekali gus membuka ruang kepada hubungan dan kerjasama lebih erat dalam perkara yang menyentuh kepentingan bersama.

“Berbeza wadah perjuangan tidak bermakna kita harus terus berjauhan. Apatah lagi apabila ada kepentingan agama, bangsa dan tanah air yang perlu dipertahankan bersama,” jelasnya dalam laman sosial rasmi, hari ini.

Tambahnya, PAS tetap berpegang teguh kepada prinsip dan dasar perjuangan Islam.

Pemuda PAS-Umno Capai Persefahaman, Buka Ruang Kerjasama

“Namun tidak pernah menutup pintu persaudaraan serta kerjasama dalam perkara kebaikan yang membawa manfaat kepada ummah,” ujarnya.

Katanya, perbezaan pandangan politik merupakan perkara lumrah, tetapi tidak seharusnya menjadi sebab terputusnya hubungan silaturahim, khususnya apabila kedua-dua pihak mempunyai tanggungjawab terhadap masa depan agama, bangsa dan negeri.

Justeru itu, beliau berharap pertemuan itu menjadi permulaan kepada hubungan lebih matang, memperkukuh ukhuwah dan membuka ruang kerjasama yang mampu memberikan manfaat kepada rakyat Terengganu.

“Penyatuan yang kukuh bukan bermakna semua pihak mesti mempunyai pandangan yang sama, tetapi mempunyai kebijaksanaan untuk bersama pada perkara yang dipersetujui dan saling menghormati dalam perkara yang berbeza.

“Prinsip terus dipertahankan, persaudaraan terus diperkukuhkan dan kepentingan ummah terus diutamakan,” tambah beliau.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan