PAS Ladang Sedia Hadapi Pilihan Raya, Buat Kerja Seolah-olah Esok Mengundi

9

KUALA TERENGGANU – PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya dengan gerak kerja bersama rakyat dilaksanakan secara berterusan, seolah-olah pilihan raya akan berlangsung pada keesokan hari.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Ladang, YB Hajah Zuraida Md Noor berkata, pendekatan itu menjadi amalan sejak awal penggal apabila khidmat kepada rakyat tidak hanya digerakkan apabila pilihan raya semakin hampir.

“Kita buat kerja macam esok pilihan raya dah. Daripada tiga tahun lepas pun kita sudah buat begitu. Menang sahaja hari ini seolah-olah esok pilihan raya pula.

“Maksudnya tidak ada masa kita rehat setahun dua tahun dan tunggu pilihan raya baru hendak buat kerja. Kita bekerja dengan rakyat sepanjang masa. Ada orang tanya bila pilihan raya nak buat gane program, sama sahaja program yang macam hari ini” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan program Kursus Kepimpinan Wanita Terengganu siri ke 2 2026 di Dewan Jubli Perak, Kuala Nerus, semalam.

Menurutnya, program mendekati masyarakat, turun ke kampung dan menyantuni rakyat yang dilaksanakan ketika ini juga akan diteruskan walaupun pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, tiada keperluan untuk menunggu musim pilihan raya bagi meningkatkan program bersama rakyat kerana hubungan dengan masyarakat perlu dibina secara berterusan.

“Kalau esok pilihan raya, benda inilah yang kita akan buat juga. Tidak ada program khas yang baru hendak dibuat apabila pilihan raya tiba.

“Persediaan untuk pilihan raya bukan bermula apabila pilihan raya diumumkan, tetapi sejak kita dilantik dan menang, kita sudah buat program untuk macam pilihan raya seterusnya.

“Bukan saya seorang sahaja, wakil rakyat dari PAS yang lain sama sahaja,” ujarnya.

Zuraida berkata, tanggungjawab sebagai wakil rakyat juga tidak seharusnya dilihat sekadar untuk mendapatkan jawatan atau kepentingan peribadi, sebaliknya merupakan amanah besar untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Amanah yang besar bukan hanya pilihan raya sahaja, bukan untuk jabatan, bukan untuk , bukan untuk pangkat. Amanah wakil rakyat ini besar dan kita kena ambil satu tannggungjawab yang kita pikul ada kesedaran sungguh untuk kita jaga.

“Bukan sebab wakil rakyat kaya ke, saya rasa tak Nampak pun wakil rakyat kaya, ada gaji, tiada gaji tiada beza bagi saya sebab bagi ke rakyat . bila kita buat kerja dengan kepuasan kita keikhlasan hati dan satu tanggungjawab kita tak akan berkira berkorban habis masa, tenaga dan wang ringgit, ujarnya.

Katanya, beliau bersama jentera di DUN berkenaan turut dibantu 21 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan perkembangan serta aduan rakyat di setiap kampung dapat dipantau.

“DUN Ladang ada 21 kampung dan 21 JPKK. Mereka mempunyai amanah besar untuk menjaga kawasan masing-masing.

“Kita bermesyuarat setiap bulan untuk mengetahui perkembangan kampung, malah mesyuarat berkaitan aduan rakyat turut diadakan setiap minggu supaya perkara yang dibangkitkan tidak terlepas daripada perhatian,” katanya.

Tambahnya, peranan JPKK juga penting sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan khususnya dalam menyampaikan maklumat mengenai bantuan dan kemudahan yang disediakan.

Ujarnya lagi, masih terdapat rakyat yang tidak mengetahui bentuk bantuan yang boleh mereka peroleh, justeru JPKK perlu berperanan sebagai pemudah cara bagi memastikan maklumat tersebut sampai kepada golongan sasaran.