SETIU – Jentera Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu digesa memperhebat gerak kerja mendekati pengundi dan tidak menunggu sehingga Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sebelum turun padang.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Setiu, Ustaz Abdul Hadi Mohamad berkata, pendekatan secara berterusan menerusi program kemasyarakatan, kunjungan dan ziarah perlu diperkasakan bagi memastikan hubungan dengan pengundi sentiasa terpelihara.
Beliau berkata, perkara itu penting memandangkan PAS kini berada pada kedudukan yang perlu dipertahankan selepas menguasai semua kerusi di kawasan berkenaan.
“Jangan tunggu bubar Parlimen dulu, jangan tunggu bubar DUN dulu kerana ia akan menjadi senjata untuk mengatakan kita hanya datang mendekati pengundi apabila pilihan raya semakin hampir,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Himpunan Mujahidah Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu, di Dewan Komuniti Sri Langkap, semalam.
Menurutnya, Muslimat mempunyai peranan penting dalam gerak kerja parti kerana mempunyai hubungan yang dekat dengan kelompok pengundi, sekali gus perlu mengambil pendekatan lebih proaktif.


“Muslimat telah bekerja, tetapi kena kerja lebih kuat lagi. Pengundi ini sangat dekat dengan Muslimat, maka Muslimat perlu mengambil peranan yang baik dan lebih proaktif demi memastikan kemenangan kita ini dipertahankan,” ujarnya.
Abdul Hadi turut mengingatkan seluruh jentera supaya menyusun gerak kerja secara teratur dan merancang lebih banyak program yang membolehkan mereka mendekati masyarakat.
Beliau berkata, gerak kerja berterusan juga penting bagi mempertahankan kedudukan PAS di Setiu, selain berusaha meningkatkan pencapaian pada pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, beliau menyeru jentera PAS supaya tidak terikut-ikut dengan rentak pihak lawan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan dengan masyarakat.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa usaha berterusan jentera parti mampu meningkatkan sokongan rakyat kepada PAS, termasuk pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.





























