Isu ‘New Age: Kerajaan Madani Dipersoal Proses Tapisan Perlantikan

3

KUALA TERENGGANU– Kerajaan MADANI perlu memberikan penjelasan berhubung proses penelitian dan tapisan yang dilakukan sebelum seseorang dilantik ke jawatan penting dalam pentadbiran hal ehwal Islam negara.

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT), To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, persoalan itu timbul susulan kontroversi yang mengaitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli dengan pendekatan yang dikaitkan dengan New Age Movement (NAM).

Menurutnya, walaupun Marhamah telah menafikan dakwaan tersebut, sesi tabayyun yang diadakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Timbalan Menteri itu menunjukkan perkara berkenaan perlu diteliti secara serius.

“Bagaimanakah proses penelitian dan tapisan dilakukan sebelum seseorang dilantik ke jawatan penting dalam pentadbiran hal ehwal Islam negara?” soalnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sesi berkenaan turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah JAKIM dan pihak berkaitan bagi meneliti isu tersebut berdasarkan disiplin akidah, autoriti agama serta latar pemikiran NAM.

Katanya, JAKIM turut memberikan beberapa teguran, nasihat dan panduan berkaitan kandungan serta pengisian program, pendekatan yang digunakan dan perkara yang mempunyai implikasi terhadap agama serta akidah.

“Isu ini tidak seharusnya berakhir sekadar dengan desakan supaya Timbalan Menteri meletakkan jawatan. Kerajaan MADANI sendiri perlu menjelaskan proses due diligence yang dilakukan sebelum pelantikan tersebut diperakukan,” katanya.

Dalam pada itu, Zarani berkata Perdana Menteri juga mempunyai tanggungjawab untuk memberikan penjelasan mengenai pertimbangan yang mendasari pelantikan anggota pentadbiran bagi portfolio agama.

Beliau menegaskan bahawa perkara berkaitan akidah umat Islam memerlukan piawaian penelitian yang tinggi dan tidak seharusnya membiarkan sebarang keraguan berlarutan tanpa penjelasan yang jelas daripada pihak berautoriti.

“Dalam perkara melibatkan akidah umat Islam, kerajaan wajib memastikan piawai penelitian yang tinggi dan tidak membiarkan sebarang keraguan berlarutan,” katanya.

Menurut beliau, DMPNT berpandangan bahawa siasatan dan penelitian terhadap isu berkenaan perlu dilaksanakan secara telus serta melibatkan pihak yang mempunyai autoriti dalam bidang akidah dan agama.

“Jika terdapat kesalahan, tindakan sewajarnya perlu diambil. Jika dakwaan tidak berasas, nama individu terbabit juga perlu dibersihkan secara adil,” katanya.

Sebelum ini, pejabat Marhamah menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age dan menjelaskan bahawa hantaran lama yang tular dibuat dalam konteks pembangunan insan, bukannya sokongan terhadap keseluruhan pegangan atau amalan individu yang dikaitkan.

JAKIM pula dalam kenyataan terbaharu menegaskan bahawa sebarang kandungan atau pendekatan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah perlu diperbetulkan dan dimurnikan, manakala pengisian berkaitan agama hendaklah berasaskan disiplin ilmu Islam serta pandangan pihak berautoriti.

Mengakhiri kenyataannya, Zarani menegaskan bahawa isu akidah tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh kepentingan umat Islam dan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan hal ehwal Islam negara.

“Akidah umat Islam terlalu besar nilainya untuk dijadikan percaturan politik. Kerajaan mesti bertanggungjawab terhadap setiap pelantikan yang dibuatnya,” tegas beliau.