Akidah, Fikrah Dan Sahsiah Asas Keluarga Haraki

3

KUALA NERUS – Pembentukan keluarga haraki tidak seharusnya dilihat sekadar penglibatan anggota keluarga dalam program atau gerak kerja PAS, sebaliknya perlu berasaskan pembentukan akidah, fikrah dan sahsiah yang soleh.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Ustaz Haji Nasrudin Hassan Tantawi berkata, keluarga haraki perlu melalui tiga peringkat utama iaitu pembentukan rumah tangga, pengisian keluarga dengan nilai tarbiah dan perjuangan serta membawa keluarga ke medan perjuangan Islam.

“Apabila sebut perkataan haraki, maka keluarga itu hidup, bergerak, berjuang, mempraktikkan amal Islami, turun ke medan dan hidup dengan mewakafkan keluarga untuk perjuangan.

“Jadi ia bukan sekadar teori, tetapi satu amanah yang perlu kita nilai dan muhasabah bersama,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama berkaitan Pembinaan Keluarga Haraki: Asas Kesinambungan Perjuangan Islam di Komtaq, Kuala Nerus, pada sabtu.

Menurutnya, asas pembentukan keluarga bermula sejak pemilihan pasangan dengan menjadikan agama sebagai ukuran utama, selain keserasian dari aspek akidah, fikrah, pentarbiahan dan kefahaman terhadap Islam.

Katanya, pasangan hidup juga perlu dilihat sebagai rakan seperjuangan dan bukan sekadar untuk membina kehidupan berkeluarga.

“Jangan kita ukur sekufu itu hanya dari sudut keturunan, kedudukan masyarakat dan material, tetapi kita perlu melihat kufu dari aspek fikrah, pentarbiahan, akidah dan kefahaman Islam.

“Kita nak pasangan hidup itu menjadi rakan seperjuangan,” katanya.

Nasrudin berkata, selepas rumah tangga dibentuk, keluarga tersebut perlu dijadikan sebagai madrasah tarbiah pertama dengan menghidupkan pengisian ilmu, sirah, tafsir, hadis dan aktiviti keagamaan bersama.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa agar tidak terlalu menumpukan gerak kerja di luar sehingga mengabaikan pembentukan dan penglibatan anak-anak dalam suasana kehidupan Islam.

“Jangan kita sahaja ikut program, pergi tamrin, Liqa’ Fikri dan Ijtima’ Tarbawi, tetapi anak-anak kita tidak dibawa bersama.

“Kita kena agendakan supaya keluarga dekat dengan perjuangan. Muktamar pun boleh dijadikan ruang untuk menghimpunkan keluarga dan membina suasana dekat dengan PAS,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa hubungan suami isteri dalam keluarga haraki perlu berasaskan sikap saling menyokong dan menguatkan, bukannya menjadi penghalang kepada penglibatan dalam perjuangan.

Tambahnya lagi, keluarga yang tidak memberikan sokongan kepada pasangan yang aktif dalam gerak kerja boleh menyebabkan seseorang itu hilang semangat dan akhirnya menjauhkan diri daripada perjuangan.

“Suami isteri kena menjadi rakan ganding, rakan seperjuangan. Dia mesti saling menguatkan, bukan menjadi pesaing.

“Kita tidak mahu rumah tangga menjadi beban kepada jemaah dan perjuangan,” katanya.

Nasrudin turut mengingatkan bahawa kesinambungan perjuangan perlu bermula dalam keluarga sendiri dengan memastikan anak-anak turut memahami nilai, kefahaman dan tanggungjawab terhadap perjuangan Islam.

“Kita sibuk mengajak orang lain menyertai PAS, kempen ahli baharu dan mengajak orang bersama perjuangan, tetapi jangan kita lupa anak kita sendiri dan pasangan hidup kita sendiri.

“Jangan sampai putus sanad kesinambungan perjuangan,” ujarnya.

Beliau berkata, keluarga yang dibina akhirnya perlu bersedia untuk dibawa ke medan perjuangan dengan suami, isteri dan anak-anak memainkan peranan mengikut kemampuan masing-masing.

“Marilah kita bina keluarga kita menjadi sebuah keluarga haraki yang benar-benar hidup untuk perjuangan Islam dan menjadi kesinambungan kepada perjuangan Islam.

“Kita adalah mata rantai kepada perjuangan ini,” tambah beliau.