Muslimat Muda perlu tampil sebagai aset masyarakat – Hanafiah

7

KEMAMAN – Golongan Muslimat Muda perlu melihat diri mereka sebagai aset kepada masyarakat dan tidak mengehadkan peranan kepada penyertaan dalam program khusus wanita semata-mata.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kemaman, Dato’ Hanafiah Mat berkata, golongan berkenaan mempunyai ruang yang luas untuk menyumbang dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, kebajikan, ekonomi, kesihatan, teknologi, media dan pengurusan organisasi.

Menurutnya, ilmu dan kemahiran yang dimiliki perlu dimanfaatkan untuk memberi manfaat kepada masyarakat, manakala amanah kepimpinan pula perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Kalau kita mempunyai ilmu, gunakan ilmu. Kalau kita mempunyai kemahiran, ajarkan kepada orang lain. Kalau kita mempunyai tenaga, gunakan untuk berkhidmat dan kalau kita diberikan amanah kepimpinan, laksanakan amanah itu dengan sebaiknya.

“Sebab itu saya mahu Muslimat Muda melihat diri masing-masing bukan sekadar sebagai peserta program, tetapi sebagai aset kepada masyarakat,” jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Himpunan Ameerah Kemaman (HAMRA’) 2026, hari ini.

Hanafiah berkata, HAMRA’ bukan sekadar medan untuk menghimpunkan peserta, sebaliknya perlu menjadi ruang untuk golongan Muslimat Muda memperbaharui semangat, memperkukuh ukhuwah dan memperjelas tanggungjawab masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan berkenaan supaya terus meningkatkan ilmu, bekerja dan memperbaiki diri agar dapat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan masyarakat.

“Kerana masa depan masyarakat bukan hanya dibentuk oleh mereka yang memegang jawatan, tetapi juga oleh mereka yang sanggup memikul tanggungjawab,” ujarnya.