Asatizah Perlu Bendung Fahaman Menyimpang, Ekstremisme

10

KUALA TERENGGANU — Para asatizah perlu memainkan peranan lebih besar dalam memastikan masyarakat mendapat ilmu agama yang benar dan sahih bagi membendung penularan fahaman menyimpang, ekstremisme serta sikap taksub.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Husain Awang berkata, perkara itu penting memandangkan masyarakat hari ini mudah terdedah kepada pelbagai sumber ilmu yang kesahihannya diragui.

Menurut beliau, keghairahan menyuburkan budaya penghayatan ilmu khususnya ilmu agama perlu disertai kewaspadaan terhadap ilmu yang tidak mempunyai asas kesahihan.

“Perkara ini penting kerana masyarakat sekarang sangat mudah untuk terjebak dengan fahaman yang pelik, ilmu songsang dan sebagainya.

“Perkara ini menatijahkan kepada lahirnya golongan ekstremis, pelampau, taksub dan pelbagai lagi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis dan Penghargaan Asatizah Negeri Terengganu, semalam.

Sehubungan itu, beliau menambah, peranan asatizah amat penting dalam menerangkan ilmu yang benar dan sahih, sekali gus melenyapkan kebatilan serta sebarang bentuk penyelewengan.

Dalam pada itu, Husain berkata, ilmu merupakan asas penting bagi membolehkan manusia mengenali dirinya dan Penciptanya, selain membezakan perkara yang baik dan buruk serta melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.

Katanya, peluang menuntut dan mengajar ilmu di Terengganu juga terbuka luas menerusi institusi pendidikan formal serta majlis ilmu yang dianjurkan di masjid dan surau di seluruh negeri.

“Justeru, kita perlu bersungguh-sungguh menyempurnakan peluang ini agar negeri kita terus dirahmati dan diberkati oleh Allah SWT,” tambah beliau.