Semak Dakwaan Harga Makanan Mahal Di Terengganu

7
To' Puan Hajah Zarani Othman

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu berpandangan dakwaan harga makanan di negeri ini mahal tidak wajar digeneralisasikan, sebaliknya setiap aduan perlu disemak secara khusus berdasarkan lokasi, jenis makanan dan harga yang dikenakan.

Ketuanya, To’ Puan Hajah Zarani Othman berkata, pandangan netizen berhubung isu berkenaan tidak boleh ditolak begitu sahaja, namun ia perlu dilihat secara seimbang dengan mengambil kira data rasmi serta keadaan sebenar yang dihadapi pengguna dan peniaga.

Menurut beliau, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi Mei 2026, purata harga nasi campur ayam dan sayur di Terengganu ialah RM7.34 sepinggan, lebih rendah berbanding Selangor RM8.53, Pulau Pinang RM8.82 dan Pahang RM8.44.

Katanya, purata harga nasi goreng di Terengganu pula ialah RM6.47 berbanding RM6.85 di Selangor dan RM6.88 di Pahang, manakala kuey teow goreng RM6.32 berbanding RM6.91 di Selangor dan RM6.68 di Pahang.

“Jadi berdasarkan data ini, tidak tepat untuk kita mengatakan secara umum bahawa makanan di Terengganu semuanya mahal.

“Tetapi kita juga tidak mahu menggunakan statistik untuk menafikan pengalaman rakyat,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kemungkinan terdapat premis tertentu, khususnya di kawasan pelancongan atau lokasi tertentu, yang mengenakan harga lebih tinggi dan keadaan itu perlu diteliti berdasarkan aduan yang diterima.

“Apabila ada aduan, kita perlu semak secara spesifik makanan apa, di mana, berapa harganya dan apakah harga tersebut munasabah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zarani menambah, kerajaan negeri juga perlu mengambil kira peningkatan kos yang ditanggung peniaga termasuk bahan mentah, sewa, gaji pekerja, utiliti dan pengangkutan.

Katanya, pendekatan menangani isu harga makanan perlu seimbang dengan tidak menyalahkan peniaga secara terburu-buru, selain tidak mengetepikan hak pengguna.

“Pendekatan kita ialah jangan nafikan, jangan generalisasikan. Dengar, semak berdasarkan data dan perbaiki apa yang perlu,” katanya.

Mengulas langkah menangani kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, beliau berkata kerajaan negeri masih mempunyai ruang untuk memperkukuh pemantauan harga melalui kerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta agensi berkaitan.

Beliau turut mencadangkan penggunaan data DOSM secara lebih aktif bagi melihat pergerakan harga di Terengganu dan membuat perbandingan dengan negeri lain.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri boleh membantu memendekkan rantaian bekalan melalui jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna, pasar tani serta program yang menghubungkan petani, nelayan, penternak dan usahawan makanan secara terus dengan pengguna.

“Terengganu juga perlu terus meningkatkan pengeluaran makanan tempatan kerana jaminan bekalan makanan adalah antara kaedah penting untuk meningkatkan daya tahan negeri terhadap kejutan harga,” ujar beliau.

Zarani turut mencadangkan supaya diwujudkan pemantauan atau indeks harga makanan rakyat Terengganu bagi menu dan barangan asas terpilih sebagai rujukan kepada kerajaan serta rakyat mengenai trend harga mengikut daerah.

Bagi kawasan pelancongan pula, beliau mencadangkan kerajaan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan peniaga menggalakkan konsep “Harga Mesra Rakyat dan Pelancong”, termasuk memastikan harga dipamerkan dengan jelas sebelum pelanggan membuat pesanan.

“Kerajaan Negeri, peniaga dan rakyat berada dalam satu ekosistem yang sama. Kerajaan Persekutuan perlu melaksanakan tanggungjawabnya, kerajaan negeri menggunakan sebaik mungkin ruang dan kuasa yang ada, peniaga pula berlaku adil kepada pengguna dan rakyat menjadi pengguna yang bijak.

“Matlamat akhirnya ialah rakyat Terengganu dapat menjalani kehidupan yang baik, peniaga dapat mencari rezeki secara munasabah dan ekonomi negeri terus berkembang tanpa membebankan rakyat,” tambah beliau.