Pemuda PAS Tegur Penganjur Konsert : Mohon Permit, Patuhi Garis Panduan Syarak

41
Ustaz Mohd Ridhuan Abdul Karim

KUALA TERENGGANU — Penganjur acara hiburan di Terengganu diingatkan supaya mendapatkan permit terlebih dahulu bagi memastikan program yang dianjurkan mematuhi garis panduan hiburan berlandaskan syarak yang ditetapkan kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Ridhuan Abdul Karim, berkata pihaknya tidak menolak hiburan secara keseluruhan, sebaliknya mahu penganjuran hiburan dilaksanakan dengan mengambil kira garis panduan syarak serta budaya dan adat masyarakat setempat.

Menurut beliau, proses permohonan permit penting kerana ia membolehkan pihak berkuasa membuat semakan terhadap kandungan dan bentuk sesuatu program sebelum ia dianjurkan.

“Kami di Negeri Terengganu bukanlah menolak terus hiburan. Tapi kami mahukan hiburan yang mengikut garis panduan syarak.»

“Macam mana nak tahu apa yang anda buat itu melanggar garis panduan atau tidak? Kena mohon permit. Dari situ barulah berlaku semakan pematuhan garis panduan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ridhuan berkata, penganjur perlu mengemukakan permohonan lebih awal, sekurang-kurangnya sebulan sebelum sesuatu acara diadakan, sebagaimana dinyatakan dalam borang permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, bagi penganjuran konsert, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah barisan artis yang membuat persembahan, senarai lagu yang akan dinyanyikan serta bahan promosi program.

“Untuk konsert, artis yang nak buat persembahan mestilah semuanya artis lelaki. Bahkan senarai lagu yang nak dipersembahkan pun perlu diberi bagi melihat kesesuaian. Poster promosinya pun perlu dikepilkan sekali,” katanya.

Menurut Ridhuan, keperluan tersebut mencerminkan pendekatan kerajaan negeri yang mahu memastikan aktiviti hiburan tidak bercanggah dengan prinsip dan garis panduan syarak yang ditetapkan.

“Kenapa sampai macam itu sekali? Sebab kerajaan serius nak didik rakyat mengikut acuan syarak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegur penganjur yang didakwa tidak membuat permohonan permit tetapi sudah mula mempromosikan sesuatu acara kepada orang ramai.

Katanya, penganjur sepatutnya menghormati peraturan yang ditetapkan serta mengambil kira norma, budaya dan adat masyarakat Terengganu sebelum membawa sesuatu bentuk hiburan ke negeri itu.

“Tapi kalau tak mohon, tiba-tiba naik iklan promosi. Siap promoter yang tak menghormati garis panduan syariat buat promosi,” katanya.

Ridhuan pada masa sama berkata pihaknya mengalu-alukan penganjur yang menghormati budaya dan adat masyarakat setempat.

“Kami alu-alukan mereka yang hormati budaya dan adat masyarakat setempat. Kalau nak bawa budaya anda yang mungkin diterima di luar itu masuk, sila cari tempat lain,” katanya.

Beliau kemudian menutup kenyataannya dengan pantun:

“Kalau ada menanam tebu,
Boleh dijual di pasar desa,
Kalau kita jadi tetamu,
Biar pandai berbudi bahasa.”

“Salam hormat buat mereka yang menghormati,” katanya.