KUALA TERENGGANU – Hasrat menjadikan Terengganu sebagai contoh pelancongan Islam kepada negeri-negeri lain tidak boleh sekadar bergantung kepada garis panduan mesra syariah, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kebersihan, harga berpatutan dan akhlak mesra rakyat terhadap pelancong.
Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, sikap rakyat khususnya pengusaha makanan, homestay dan produk pelancongan merupakan antara faktor paling penting dalam membentuk pengalaman pelancong yang berkunjung ke negeri itu.
Menurutnya, pengusaha tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap kehadiran pelancong dengan menaikkan harga perkhidmatan secara tidak munasabah.
“Pada saya perkara yang paling penting dalam sektor pelancongan selain garis panduan pelancongan yang mesra syariah ialah sikap mesra dan baik hati rakyat Terengganu terutama pengusaha makanan, homestay dan produk pelancongan dalam menyantuni para pelancong.
“Jangan sekali-kali cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga perkhidmatan tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini, mengulas tindakan konkrit yang perlu dilakukan oleh golongan ulama dan kerajaan negeri dalam tempoh setahun akan datang bagi menjadikan Terengganu contoh kepada negeri-negeri lain dalam pelancongan Islam.
Dr Wan Mat berkata, aspek kebersihan juga perlu dijadikan agenda bersama kerana keindahan destinasi pelancongan akan lebih bermakna sekiranya kawasan, premis makanan dan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan bersih.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan negeri dan rakyat supaya mengambil berat soal kebersihan serta menjadikannya sebagai budaya hidup.
Beliau turut mengajak golongan asatizah dan alim ulama memainkan peranan dengan menyampaikan kepentingan kebersihan dalam kuliah dan pengajian kepada masyarakat.
“Saya ajak semua para asatizah dan alim ulama supaya menyampaikan perkara ini dalam kuliah-kuliah mereka agar semua pihak termasuk rakyat kita menjaga negeri kita supaya bersih,” ujarnya.
Menurut beliau, kebersihan perlu terserlah khususnya di kedai makan, warung dan restoran yang menjadi antara lokasi utama dikunjungi pelancong.
Katanya, Terengganu tidak perlu bersaing dengan negeri lain melalui pembangunan bangunan tinggi semata-mata, sebaliknya perlu memanfaatkan kekuatan yang dimiliki termasuk pantai dan pulau yang indah serta budaya masyarakat yang mesra.
“Biarlah mereka seronok datang ke Terengganu kerana pantai-pantai dan pulau-pulau yang indah dan bersih, restoran-restorannya sedap dan bersih serta harganya berpatutan dan orang-orangnya mesra dan penyantun,” ujar Dr Wan.
Justeru itu beliau menegaskan, gabungan keindahan alam, kebersihan, makanan berkualiti, harga berpatutan dan layanan mesra merupakan wajah sebenar pelancongan Islam yang perlu dibina dan diperkukuhkan di Terengganu.






























