Ameerah Perlu Perkasa Tarbiah, Strategi Tarik Sokongan Anak Muda Menjelang PRU16

5

SETIU – Ameerah perlu memperkukuhkan tarbiah dan menyusun strategi gerak kerja yang lebih tersusun bagi menarik sokongan golongan muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu, Wan Rahman Abd Rahman berkata, tanggungjawab Ameerah amat besar sebagai sayap yang dekat dengan golongan beliawanis dalam usaha memperluaskan pengaruh dan menyampaikan mesej perjuangan Islam kepada generasi muda.

Menurutnya, perubahan landskap politik hari ini memperlihatkan golongan muda mempunyai pengaruh besar dalam menentukan masa depan negara, justeru pendekatan yang sesuai perlu digerakkan bagi mendekati kelompok berkenaan.

“Orang muda perlu memainkan peranan untuk menarik seramai mungkin anak muda bersama kita. Pengundi hari ini ramai terdiri daripada golongan muda.

“Sebab itu Ameerah penting dalam usaha menarik sokongan anak muda. Kita perlu membuat program dan aktiviti yang menyebabkan mereka minat untuk bersama Ameerah,” jelasnya dalam usrah bersama ahli Jawatan Kerja (AJK) Gen3 kawasan Setiu hari ini.

Beliau berkata, Muslimat memberikan sokongan kepada Ameerah dalam melaksanakan pelbagai aktiviti bagi memperkukuhkan gerak kerja dan mendekati golongan muda.

Katanya, pendekatan orang muda bertemu dengan orang muda juga lebih berkesan kerana mereka lebih memahami bahasa, pemikiran dan keperluan generasi tersebut.

“Kita berharap Ameerah Setiu dapat menyusun strategi dan gerak kerja dengan lebih baik kerana tanggungjawab yang terletak di bahu Ameerah sangat besar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Ramlah menegaskan bahawa pengukuhan tarbiah merupakan asas penting dalam membentuk individu dan memperkukuhkan organisasi.

Katanya, tanpa tarbiah, seseorang sukar untuk membimbing diri serta memahami tanggungjawab dalam perjuangan.

“Dengan tarbiah, kita boleh memperkuatkan organisasi. Kita perlu sentiasa memperkukuhkan tarbiah supaya ahli mampu menghadapi cabaran dan melaksanakan amanah dengan sebaiknya,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan Islam memerlukan kesabaran dan ketahanan tinggi, khususnya ketika berhadapan dengan pelbagai tekanan dan ujian.

Mengambil pengajaran daripada Surah Ali ‘Imran ayat 200, beliau berkata, terdapat empat perkara penting yang perlu dihayati oleh setiap pejuang iaitu bersabar, memperteguhkan kesabaran, tetap teguh di medan perjuangan serta bertakwa kepada Allah SWT.

Katanya, kesabaran amat diperlukan dalam proses tarbiah, memikul amanah dan melaksanakan tugas amar makruf serta nahi mungkar.

“Apabila kita mengajak manusia kepada kebaikan, sudah tentu akan ada pelbagai ujian dan tekanan. Sebab itu kita perlu sabar dan memperteguhkan kesabaran.

“Kita tidak boleh lebih lemah daripada mereka yang menentang perjuangan Islam,” katanya.

Beliau menambah, sifat warabitu pula menuntut setiap ahli supaya tetap teguh dan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah di tempat serta posisi masing-masing.

“Kalau kita memegang sesuatu lajnah, kita perlu memperkuatkannya. Kita perlu bekerja bersungguh-sungguh di tempat yang telah diamanahkan kepada kita untuk menaikkan kekuatan jemaah,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan supaya setiap gerak kerja sentiasa disandarkan kepada Allah SWT dan dilaksanakan dengan penuh ketakwaan.

“Apabila kita melakukan kerja Islam, kita perlu ingat bahawa kita masih ada Allah. Kita perlu taat kepada segala suruhan-Nya dan meninggalkan laranganNya.

“Apa yang berlaku selepas kita berusaha, kita serahkan kepada Allah. Kita perlu terus bergerak dan menyebarkan Islam,” tambah beliau.

Wan Rahman turut menyeru seluruh anggota Ameerah supaya memperkukuhkan kesatuan, meningkatkan pengorbanan dan memperkemaskan gerak kerja sebagai persediaan menghadapi PRU16 yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Selain itu, beliau berkata, perjuangan PAS dalam memimpin agenda Penyatuan Ummah perlu terus diperkasakan dengan menjadikan Islam sebagai asas dan prinsip utama dalam usaha menyatukan umat.

“PAS mempunyai strategi dan agenda perjuangan yang jelas dalam memimpin Penyatuan Ummah. Kita mahu umat Islam bersatu dan kekuatan mereka diperkukuhkan tanpa menggadaikan prinsip Islam,” katanya.