Dewan Ulama PAS Terengganu Sokong Agenda Penyatuan, Gesa Digerakkan Semua Peringkat

5

KUALA TERENGGANU – Selain menyokong sepenuhnya Agenda Penyatuan Ummah, Dewan Ulama PAS Terengganu menggesa agar gagasan tersebut digerakkan oleh seluruh jentera PAS bermula daripada kepimpinan tertinggi sehingga ke peringkat cawangan.

Ketua Dewan Ulama PAS Terengganu, Dr Wan Mat Sulaiman menegaskan, ia sangat penting demi mengembalikan kuasa politik Melayu Islam di negara tercints ini.

“Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu dari awal lagi menyokong dan akan mendokong agenda penting ini,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menambah, penyatuan dengan berpegang teguh ‘tali Allah’ merupakan tuntutan syarak kerana perpecahan dan perbalahan hanya akan membawa kepada kelemahan serta kehilangan kekuatan.

“sejarah Islam juga membuktikan bahawa penyatuan merupakan asas penting dalam membina kekuatan dan keamanan masyarakat sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah SAW selepas penghijrahan ke Madinah.” beliau berhujah.

Ujar Dr Wan Mat, Rasulullah SAW telah menyatukan kaum Aus dan Khazraj yang sebelum itu bermusuhan, selain mempersaudarakan kaum Ansar dengan golongan Muhajirin sehingga membentuk kekuatan baharu dalam kalangan umat Islam.

“Penyatuan dan persaudaraan tersebut telah membawa kepada kekuatan ummah daripada masyarakat yang dahulunya hidup dalam keadaan berpecah dan bermusuhan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan ummah Bukan sahaja mampu memperkukuhkan kuasa politik Melayu Islam sebagai kaum majoriti negara ini, bahkan mempertahankan kedudukan dan identiti muslim di Malaysia.

Menurutnya, kekuatan daripada penyatuan kelompok terbesar Negara itu juga berupaya memperkasakan pelaksanaan penyelesaian Islam dalam sistem pemerintahan, termasuk aspek perundangan, pentadbiran dan tatakelola berteraskan amanah serta integriti.

Dalam konteks itu, beliau berkata, penyatuan itu akan meningkatkan kuasa untuk memperkasakan Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.

“sudah pasti mampu mempertahankan undang-undang syariah dan usaha memperkasakan institusi Islam di negara ini,” katanya.

Oleh itu, Dr Wan Mat menekankan, asas utama penyatuan mestilah Islam dengan mengutamakan maslahah umum umat dan masyarakat ‘non-muslim’.

Justeru beliau menyeru semua pihak fokus kepada titik persamaan dalam perkara pokok atau usul yang dapat mengukuhkan penyatuan, manakala perbezaan dalam perkara cabang perlu ditangani dengan sikap toleransi dan berlapang dada.

“Kejujuran, keikhlasan dan integriti perlu menjadi nilai utama kepada Penyatuan Ummah ini agar ia berjaya, dapat bertahan lama dan diberkati Allah,” tambah beliau.

Pada Muktamar Tahun PAS Ke-72 minggu lalu, Usul Penyatuan Ummah yang dibawa oleh Dewan Ulama PAS Pusat telah diterima sebulat suara, sebagaimana diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usul, YB Ustaz Ahmad Fadhli Saari.