Muktamar PAS Kali Ke 72 Medan Perkukuh Kesatuan, Hala Tuju Parti

110
DR. MUHAMMAD Akmal Salleh (enam dari kanan) menghadiri Muktamar Pemuda Pas di Kota Bharu, Kelantan semalam

KUALA TERENGGANU — Muktamar dan Konvensyen PAS 2026 yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar Kota Bharu dan Bachok menjadi medan penting bagi parti itu menghimpunkan pimpinan, perwakilan dan ahli bagi memperkukuh kesatuan serta membincangkan hala tuju perjuangan.

Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-72 dijadualkan berlangsung pada 4 dan 5 September di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Sebelum itu, beberapa sayap utama PAS turut mengadakan muktamar masing-masing bermula 2 September, termasuk Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke-67 yang berlangsung pada 2 dan 3 September di Grand Riverview Hotel, Kota Bharu.

Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat kali ke-65 dan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke-66 pula berlangsung pada 3 September di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu dan Kompleks Pendidikan Islam, Bachok.

Turut dijadualkan ialah Konvensyen As-Sabiqun PAS Pusat di H-Elite Hotel serta Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) di Crown Garden Hotel pada 3 September.

Penganjuran muktamar dan konvensyen berkenaan bukan sekadar menjadi platform untuk membahaskan usul dan laporan perjalanan organisasi.

Malah menjadi ruang untuk setiap peringkat parti menyuarakan pandangan, cadangan dan penambahbaikan terhadap gerak kerja yang dilaksanakan.

Dalam masa sama, perbahasan yang berlangsung di peringkat dewan dan muktamar pusat dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kesatuan ahli, meningkatkan keberkesanan gerak kerja parti serta mendepani perkembangan politik dan cabaran semasa.

Muktamar juga dilihat sebagai kesempatan untuk pimpinan dan perwakilan melakukan muhasabah terhadap perjalanan perjuangan, selain menyusun strategi dan pendekatan yang lebih tersusun bagi menghadapi cabaran politik pada masa hadapan.

Dengan tema “Islam Adalah Penyelesaian”, penganjuran Muktamar PAS 2026 turut menekankan asas perjuangan parti berteraskan Islam sebagai panduan dalam membawa gagasan politik, pentadbiran dan kebajikan rakyat.

Siri muktamar dan konvensyen itu dijangka berlangsung dalam suasana penuh perbahasan serta pertukaran pandangan, dengan setiap perwakilan diberi ruang membawa suara akar umbi untuk dipertimbangkan dalam menentukan agenda dan hala tuju parti.

Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-72 akan menjadi kemuncak kepada siri persidangan tersebut sebelum keseluruhan keputusan dan ketetapan yang dicapai diterjemahkan melalui gerak kerja parti di semua peringkat.