Sasar Putrajaya, Wajib Pertahan Kemenangan Peringkat Negeri

3

HULU TERENGGANU – PAS menyasarkan untuk menerajui kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun matlamat besar tersebut hanya akan tercapai sekiranya parti itu berjaya mengekalkan penguasaan sedia ada di peringkat negeri terlebih dahulu.

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar bin Abdullah menegaskan bahawa mempertahankan kemenangan di empat negeri utama iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis adalah asas paling penting sebelum PAS boleh melangkah ke Putrajaya.

“Kalau kita di peringkat negeri pun hilang kerusi, maka tidak sampailah hasrat kita untuk ke Putrajaya.

“Tugas paling besar kita sekarang adalah mengekalkan kemenangan sedia ada,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Hulu Terengganu pada Selasa 25 Ogos.

Beliau berkata, berdasarkan petunjuk perkembangan politik dan ekonomi semasa di peringkat domestik serta global, pilihan raya dijangka boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu memberikan bayangan kemungkinan parlimen dibubarkan sekitar bulan November ini, sejurus selepas pembentangan Bajet.

“Jika pilihan raya berlaku bulan November, kita hanya ada sekitar tiga bulan sahaja lagi untuk membuat persiapan. Jadi, bermula esok jentera di semua peringkat termasuk Unit Peti Undi (UPU), zon, dan cawangan mesti bekerja keras dan memperkemaskan gerak kerja.

“Pastikan jentera kita dianggotai oleh petugas yang benar-benar wujud dan aktif bergerak buat kerja, bukan sekadar nama penuh di atas kertas sahaja,” tegas beliau.

Oleh itu, beliau mengingatkan seluruh jentera agar memberikan komitmen luar biasa bagi mempertahankan kemenangan di kesemua lima kerusi, melibatkan satu kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN

Dalam ucapan yang sama, beliau turut menyentuh tentang keunikan PAS yang berbeza berbanding parti-parti politik lain di Malaysia kerana ia juga adalah sebuah jamaah akidah yang bergerak atas dasar menegakkan syiar Islam, dan bukannya berjuang demi ganjaran material atau wang ringgit.

Kefahaman pegangan dan keikhlasan para pejuangnya, kata beliau, menjadi rahsia mengapa PAS tetap utuh, malah bangkit semula menjadi lebih kuat selepas mengalami kejatuhan sebelum ini.

“Sebab itu hari ini, selepas 75 tahun penubuhan, perjuangan kita semakin mendapat tempat di hati rakyat. PAS kini muncul sebagai parti yang mempunyai bilangan ahli parlimen paling ramai di Malaysia iaitu sebanyak 43 orang,” katanya lagi.

Justeru jelasnya, PAS tidak boleh lagi hanya bergantung kepada sokongan pengundi Melayu sahaja dan perlu menarik sekurang-kurangnya 10 peratus sokongan daripada pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina.

“Zaman media sosial sekarang, apa sahaja yang kita cakap di Terengganu atau Kelantan akan sampai ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dalam sekelip mata.

“Jangan sampai ucapan kita memberi kesan negatif kepada rakan-rakan seperjuangan di Selangor, Perak, atau Pulau Pinang yang memerlukan sokongan pengundi bukan Islam.

“Pihak lawan terutamanya DAP telah berjaya menanam persepsi dalam minda orang Cina bahawa PAS ini ekstrem. Kita mesti memperbetulkan persepsi ini melalui tindakan dan penjelasan yang matang,” jelas beliau.

Beliau menambah, sekiranya diberikan mandat untuk memimpin kerajaan Persekutuan kelak, tumpuan utama PAS adalah menyelesaikan isu-isu kritikal negara terutamanya membanteras rasuah dan salah guna kuasa demi menyelamatkan ekonomi rakyat.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Dato’ Ariffin bin Deraman, serta pimpinan tertinggi PAS kawasan dan dewan-dewan peringkat Hulu Terengganu.