Oleh : Amir
KUALA BESUT – PAS perlu memberi perhatian lebih serius kepada pengundi muda khususnya anak-anak ahli parti bagi memastikan sokongan dalam kelompok itu tidak terlepas kepada pihak lain pada pilihan raya akan datang.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, YB Ustaz Dr Khalil Abdul Hadi berkata, tumpuan terhadap pengundi berusia 18 hingga 40 tahun amat penting memandangkan kelompok itu kini merangkumi lebih separuh daripada jumlah pengundi.
Menurutnya, perubahan sistem pendaftaran pengundi yang kini dilakukan secara automatik termasuk golongan berusia 18 tahun menjadikan pendekatan menghadapi pilihan raya berbeza berbanding sebelum ini.
“Pengundi muda daripada kalangan anak ahli PAS, kita kena tengok ‘bakul kita’ sendiri. Berapa ramai pengundi muda anak-anak ahli PAS? Kena programkan mereka.
“Kita tidak mahu benda yang sudah ada dalam bakul kita terlepas. Ini penting, kemudian barulah kita pergi keluar dalam kalangan pemuda-pemuda lain,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program jentera pilihan raya PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, semalam.
Katanya, gerak kerja jentera juga perlu disusun dengan mengambil kira perubahan demografi pengundi serta cabaran baharu susulan peningkatan jumlah pengundi muda.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Khalil turut menyentuh dakwaan bahawa PAS bersikap anti terhadap masyarakat bukan Islam.
Beliau menegaskan PAS tidak bersikap anti terhadap golongan bukan Islam, sebaliknya menolak sebarang tindakan yang dianggap melampau.
“Mereka tuduh PAS anti kepada orang bukan Islam. Kita jawab kita bukan anti kepada orang bukan Islam. Ada yang melampau, ada yang tidak melampau. Kita tolak yang melampau,” ujarnya.


Beliau menambah, perkembangan politik semasa juga menunjukkan pentingnya PAS menilai semula hubungan politik dengan pihak yang dianggap melanggar perjanjian yang telah dipersetujui.
Sementara itu, Dr Khalil berkata hampir separuh DUN di Terengganu telah dikunjungi Pesuruhjaya PAS Terengganu bagi melihat sendiri gerak kerja jentera pilihan raya di kawasan masing-masing.
Beliau berharap seluruh jentera dapat meningkatkan usaha mendekati pengundi, khususnya golongan muda, bagi memastikan persiapan menghadapi pilihan raya berada pada tahap terbaik.
“Mudah-mudahan Allah kurniakan keikhlasan atas diri untuk kita memacu kemenangan di DUN Kuala Besut,” katanya.



























