105 Anak PASTI Semarak Maulidur Rasul, Tanam Cinta Rasulullah Sejak Kecil

6

KUALA TERENGGANU – Seramai 105 anak-anak PASTI Al Huda 1 dan PASTI Al Huda 2 menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul melalui perarakan beramai-ramai, aktiviti luar dan pelbagai pengisian keagamaan dalam usaha menyemai kecintaan terhadap Rasulullah SAW sejak usia kanak-kanak.

Guru PASTI Al Huda 1, Anasuha Zulkfili berkata, program berkenaan bukan sekadar meraikan kelahiran Rasulullah SAW, sebaliknya menjadi platform pendidikan untuk memperkenalkan sirah dan kehidupan Baginda kepada anak-anak dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Menurutnya, penghayatan terhadap sirah Rasulullah SAW perlu diterapkan sejak kecil supaya anak-anak dapat mengenali perjuangan Baginda serta menjadikan akhlak dan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

“Antara matlamat utama program ini adalah untuk memupuk rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW serta menjadikan Baginda sebagai contoh teladan.

“Pada masa sama, kita mahu anak-anak memahami perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW dalam menyampaikan Islam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, program sambutan Maulidur Rasul yang melibatkan 65 pelajar PASTI Al Huda 1 dan 40 pelajar PASTI Al Huda 2.

Katanya, pengisian melalui perarakan beramai-ramai turut memberikan pengalaman berbeza kepada anak-anak kerana mereka dapat menghayati sambutan Maulidur Rasul dalam suasana di luar bilik darjah.

“Suasana di luar kelas memberi peluang kepada anak-anak untuk belajar melalui pengalaman, selain mengeratkan hubungan antara guru dan mereka menerusi aktiviti yang dilakukan bersama.

“Pelbagai makanan dan minuman turut disediakan bagi mewujudkan suasana sambutan yang meriah, mesra dan menyeronokkan,” ujarnya.

Menurut Anasuha, program berkenaan juga secara tidak langsung dapat membentuk akhlak anak-anak menerusi penerapan nilai kasih sayang, kerjasama, disiplin dan kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Beliau berharap penghayatan Maulidur Rasul tidak terhenti sepanjang program sahaja, sebaliknya dapat diteruskan dalam kehidupan seharian melalui amalan sunnah dan akhlak yang baik.

“Paling penting, kita mahu anak-anak membesar dengan mengenali Rasulullah SAW, mencintai Baginda dan berusaha mencontohi akhlak Baginda dalam kehidupan mereka,” katanya.