MUAR – PAS Terengganu akan menggunakan segala pengalaman yang dimiliki bagi membantu memperkemaskan gerak kerja parti sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Haji Hussain Awang berkata, PAS Terengganu ke Johor bagi menyahut seruan Allah SWT untuk berjuang di jalan-Nya sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 41.
“Kini kita berada di Johor. Keberadaan kita dibumi ini demi menyahut panggilan dan seruan Allah yang berfirman.
“Pergilah beramai-ramai untuk berjuang pada jalan Allah sama ada dengan keadaan mudah-ringan atau dalam keadaan susah / berat disebabkan berbagai tanggungjawab, dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa raga kamu pada jalan Allah, untuk membela Islam. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. (Al-Taubah: 41), “ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ucapan kepada petugas PRN Johor ke-16, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut , beliau berkata walaupun tugasan itu menuntut pengorbanan harta dan menjejaskan kesihatan, semua petugas perlu bersedia menerima segala ketetapan Allah SWT dengan penuh keyakinan.


“Memang kita sukar dan berat, sekali pun tidak mengorbankan nyawa, tetapi ia tetap mengorbankan harta dan menjejaskan kesihatan kita, maka demi kerana yakin kepada janji Allah SWT kita tetap bersedia menerima apa jua ketetapan dan qada qadar Allah.
“Kita berada di sini, sebagai tenaga bantu, sebagai menambah dan memperkemaskan jentera, tenaga cara bekerja, yang sedia diatur dan disusun oleh PAS Johor dan ketiga-tiga MTD (di Kawasan Muar) berkenaan,” jelas.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa pendekatan yang digunakan di Johor perlu disesuaikan dengan keadaan setempat memandangkan landskap masyarakat di negeri itu berbeza berbanding Terengganu.
“Sekalipun di negeri kita, kita mencapai kemenangan mutlak, di peringkat Parlimen dan juga di peringkat Dewan Undangan. Kita kena sedar lain padang lain belalang.
“Kita berada di kalangan masyarakat yang berbeza dari sudut geopolitik, kaum, budaya dan bercampur antara penduduk bandar dan pinggir bandar.
“Maka sudah tentu kita mesti menggunakan segala pengalaman yang bagi menyesuaikan tugas kita ,” ujar beliau.





























