PAS Kuala Terengganu Hantar Petugas Perkukuh DUN Maharani

66
Halimi Abdullah bersama Mohd Zaim Azfar bin Muhamad (Dua dark kanan) Pegawai Khas ADUN Ladang merangkap Ketua Rombongan bagi gelombang pertama

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Kuala Terengganu menggerakkan empat gelombang jentera ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani bagi membantu gerak kerja Perikatan Nasional (PN) sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, YB Dato’ Haji Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penugasan tersebut dilaksanakan secara bergilir melibatkan keempat-empat DUN di bawah PAS Kawasan Kuala Terengganu.

“Setiap gelombang akan menghantar seramai 16 petugas yang akan membantu pelbagai tugasan pilihan raya termasuk operasi kempen, ziarah pengundi, logistik serta keperluan gerak kerja yang ditetapkan oleh jentera tempatan di DUN Maharani.

“Penugasan secara bergilir ini membolehkan kekuatan jentera Kuala Terengganu sentiasa berada di DUN Maharani sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan jentera Kuala Terengganu merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dalam usaha memperkukuhkan kempen Perikatan Nasional di Johor.

Tambahnya, setiap petugas diingatkan supaya melaksanakan amanah dengan penuh komitmen, mematuhi arahan yang ditetapkan serta menjaga disiplin dan nama baik PAS Kuala Terengganu sepanjang bertugas.

“Semoga setiap usaha yang dilakukan dipermudahkan Allah SWT dan menjadi asbab kepada kemenangan Perikatan Nasional di DUN Maharani,” katanya.