Pembinaan Pusat Pentadbiran PAS KT Diteruskan

37

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Kuala Terengganu terus mempergiat usaha pembinaan Markas Tarbiah yang bakal menjadi pusat pentadbiran, latihan dan pembangunan ahli di pelbagai peringkat.

Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, YB Dato Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, projek yang bernilai RM10 juta itu kini berjalan lancar dengan kerja-kerja pemasangan cerucuk (piling) sedang dilaksanakan.

Menurutnya, projek berkenaan telah dimulakan hasil sumbangan yang diterima daripada ahli dan orang ramai yang sentiasa menyokong perjuangan PAS.

“Alhamdulillah, sumbangan yang diberikan telah membolehkan projek ini dimulakan dan kini proses pembinaan sedang berjalan dengan kerja-kerja menanam cerucuk sedang dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi mengulas Mesyuarat Agung PAS Kawasan tersebur yang berlangsung Sabtu lalu.

Beliau yang juga Setiausaha PAS Terengganu berkata, apanila siap kelak, markas tersebut bahkan, berpotensi dimanfaatkan oleh PAS di peringkat negeri dan pusat.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh ahli dan penyokong PAS untuk meneruskan sumbangan bagi memastikan pembinaan bangunan itu dapat disiapkan mengikut perancangan.

Menurutnya, kos keseluruhan pembinaan Markas Tarbiah tersebut dianggarkan sebanyak RM10 juta.

“Pembinaan ini bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai.

“Jika dana mencukupi, kerja pembinaan akan diteruskan, dan jika sebaliknya, projek mungkin terpaksa diperlahankan,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, atas faktor pembiayaan yang bergantung kepada sumbangan, pihaknya tidak dapat menetapkan tempoh siap yang khusus buat masa ini.

“namun kita yakin kompleks itu akan berjaya disempurnakan dengan sokongan berterusan daripada ahli dan masyarakat.” tambahnya