Syariat Bukan Halangan, Tetapi Jalan Menuju Keharmonian dan Keberkatan

68

DUNGUN -Syariat Islam bukanlah sekatan terhadap kebebasan manusia sebaliknya panduan terbaik untuk melahirkan masyarakat yang harmoni dan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Timbalan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, agenda Indahnya Hidup Bersyariat yang diperkenalkan kerajaan negeri bertujuan memastikan setiap aspek kehidupan rakyat sentiasa berpandukan syariat Islam.

“Dalam masa yang sama, kita hendak menunjukkan bahawa setiap aspek kehidupan yang kita lalui pada hari ini mestilah bersyariat. Ini penting supaya kita tidak jauh daripada perjalanan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada kita,” katanya.

Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Rantau Abang itu juga, berkata demikian ketika berucap merasmikan BersamaMu Rakyat DUN Rantau Abang di tapak Pasar Malam Pulau Serai di sini pada 20 Jun.

Mengulas mengenai garis panduan penganjuran konsert dan program hiburan di negeri ini, ADUN Rantau Abang itu, menjelaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan aktiviti hiburan dilaksanakan dalam kerangka syariat Islam.

Katanya, antara garis panduan yang ditetapkan termasuklah pengasingan antara lelaki dan perempuan serta pemilihan lagu dan persembahan yang bersesuaian dengan nilai Islam dan budaya masyarakat setempat.

“Bagaimanapun, usaha menyediakan garis panduan yang sempurna bukanlah sesuatu yang mudah kerana pelbagai cabaran dan ujian perlu dihadapi dalam proses pelaksanaannya.

“Untuk menyediakan garis panduan yang lengkap dan sempurna bukan mudah, banyak ujian dan cabaran yang perlu kita tempuhi bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa aspek penguatkuasaan merupakan antara cabaran terbesar kerana memastikan setiap penganjur mematuhi garis panduan yang ditetapkan memerlukan kerjasama semua pihak.

Sehubungan itu, katanya, tindakan termasuk mengenakan denda akan diambil terhadap mana-mana penganjur yang didapati melanggar syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, kerajaan negeri tetap komited meneruskan agenda Indahnya Hidup Bersyariat sebagai usaha membentuk masyarakat yang berakhlak, berdisiplin dan sentiasa menjadikan Islam sebagai panduan hidup,” tegasnya.