PN Akan Pertahan Kemenangan 40 kerusi Di Terengganu

29

KUALA TERENGGANU: – Kemenangan 40 kerusi DUN Dan Parlimen di negeri Terengganu akan dipertahankan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan usaha dipergiat untuk meningkatkan sokongan rakyat sehingga mencapai 80 peratus.

Pengerusi PN Terengganu, Dato’ Dr Alias Razak berkata, sasaran itu mampu dicapai dengan hanya memerlukan peralihan sekitar lima peratus pengundi Barisan Nasional (BN) pada PRU lalu untuk menyokong PN.

Menurutnya, matlamat mempertahankan lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan sesuatu yang boleh dicapai secara mudah, sebaliknya memerlukan gerak kerja berterusan daripada seluruh jentera parti.

“Kita mesti kekal menang semua kerusi, 40 kosong. Lapan Parlimen dan 32 DUN. Kemenangan bukan hadiah yang datang bergolek, tetapi hasil usaha, iltizam, semangat, pengorbanan dan kesungguhan semua pihak.

“Untuk mencapai sasaran sokongan 80 peratus seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Strategik Teguh Memimpin Terengganu, kita hanya memerlukan peralihan lima peratus pengundi BN pada PRU-15 lalu,” katanya.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu itu berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Terengganu kali ke-51 di Markaz Tarbiyah Kuala Ibai, semalam.

Dr Alias berkata, kekuatan sebenar PN terletak pada keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang menjaga kebajikan mereka dan mempertahankan nilai agama serta moral masyarakat.

Menurutnya, seluruh jentera parti perlu terus turun padang mendengar denyut nadi rakyat, memahami cabaran kos sara hidup, peluang pekerjaan dan masa depan generasi muda.

“Kita perlu sentiasa mendekati rakyat, mendengar dan membantu mereka dalam apa jua keadaan.

“Cawangan dan JPKK sebagai barisan hadapan yang paling dekat dengan masyarakat perlu memainkan peranan secara bersungguh-sungguh bagi menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, matlamat utama ialah mempertahankan semua kerusi yang dimenangi dan terus memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap perjuangan yang dibawa.

“Apabila rakyat merasakan pimpinan dekat dengan mereka, hubungan itu akan menjadi benteng yang sukar ditembusi pihak lawan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.

Pada masa sama, beliau menegaskan PN masih kukuh di peringkat negeri dan pusat walaupun berdepan pelbagai spekulasi politik.

Beliau turut mengingatkan ahli dan penyokong supaya menghadapi persaingan politik secara matang dengan menjawab segala tuduhan dan fitnah berasaskan fakta serta prestasi pentadbiran.

“Cara paling berkesan untuk mengekang kebangkitan lawan bukan dengan menyerang mereka semata-mata, tetapi dengan membuktikan bahawa kita lebih baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.