Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan telah membatalkan serangan ketenteraan yang dirancang terhadap Iran hanya beberapa jam sebelum operasi tersebut dilaksanakan.
Menurut laporan media antarabangsa, keputusan itu dibuat selepas wujud perkembangan positif dalam rundingan antara Washington dan Tehran.
Trump mendakwa bahawa kedua-dua pihak sedang menghampiri satu persefahaman yang boleh mengurangkan ketegangan yang memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Sumber pertahanan Amerika Syarikat dilaporkan menyatakan bahawa aset ketenteraan AS telah berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi.
“bersedia untuk melaksanakan serangan terhadap beberapa sasaran strategik Iran. Namun, arahan pembatalan dikeluarkan pada saat akhir bagi memberi ruang kepada usaha diplomatik.” menurut sumber tersebut.
Walau bagaimanapun, pihak Iran dilaporkan menafikan bahawa sebarang perjanjian muktamad telah dicapai.
Pegawai Tehran menegaskan bahawa rundingan masih berjalan dan beberapa isu utama masih belum diselesaikan.
Penganalisis antarabangsa melihat langkah Trump sebagai usaha mengelakkan konflik besar yang boleh menggugat kestabilan Timur Tengah serta menjejaskan ekonomi global.
Sebarang konfrontasi ketenteraan antara Amerika Syarikat dan Iran berpotensi mengganggu bekalan minyak dunia dan meningkatkan harga tenaga.
Pasaran global memberi reaksi positif terhadap perkembangan tersebut apabila harga minyak mentah menunjukkan penurunan susulan kebimbangan terhadap risiko perang yang semakin reda buat sementara waktu.
Walaupun serangan telah dibatalkan, pemerhati berpendapat bahawa hubungan antara Washington dan Tehran masih berada dalam keadaan tegang. Sebarang kegagalan rundingan berkemungkinan mencetuskan semula ancaman konflik pada masa hadapan.
Setakat ini, kedua-dua pihak masih meneruskan usaha diplomatik bagi mencari penyelesaian yang dapat mengelakkan berlakunya peperangan terbuka di rantau Timur Tengah.




























