Kekal Berdisiplin Dan Fokus Perkukuh Sokongan Rakyat

38
Shalahuddin Jaafar

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Besut menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan PAS Pusat berhubung penamatan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyeru seluruh ahli serta jentera parti menerima keputusan tersebut dengan penuh disiplin dan semangat perjuangan.

Setiausahanya, Cikgu Solahuddin Jaafar, berkata keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti pastinya telah melalui penelitian dan pertimbangan menyeluruh daripada pelbagai sudut demi menjaga maslahah perjuangan serta kepentingan rakyat.

Menurut beliau, PAS Besut akan terus memperkukuhkan gerak kerja organisasi dan jentera parti di semua peringkat bagi memastikan sokongan rakyat terhadap PAS terus meningkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.

“Alhamdulillah, momentum sokongan rakyat khususnya dalam kalangan generasi muda terhadap PAS berada pada tahap yang amat memberangsangkan.

“Mereka terus meletakkan harapan agar PAS diberi mandat untuk menerajui negara pada masa hadapan,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau menegaskan, sebagai ahli dan pimpinan di peringkat akar umbi, mereka menerima apa sahaja keputusan yang diputuskan oleh parti dengan penuh taat dan disiplin.

Dalam masa sama, beliau yakin bahawa gabungan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Dato Sri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan terus memainkan peranan lebih signifikan dalam menawarkan agenda pembangunan negara yang stabil, berintegriti dan berteraskan kepentingan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan jentera PAS di semua peringkat supaya menerima keputusan parti berhubung hubungan dengan Bersatu secara matang serta mengutamakan kepentingan perjuangan.

“Dalam menghadapi situasi ini, ketenangan, kebijaksanaan dan adab berjemaah hendaklah sentiasa dipelihara.

“Elakkan sebarang polemik, kenyataan atau tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan keharmonian perjuangan parti,” katanya.

Cikgu Solahuddin turut menegaskan bahawa fokus utama PAS ketika ini adalah memperkukuhkan organisasi parti dan meningkatkan keyakinan rakyat sebagai persediaan menghadapi PRU16.