KUALA TERENGGANU – Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan pucuk pimpinan PAS Pusat berhubung hala tuju kerjasama politik parti, termasuk tindakan menamatkan hubungan dengan Bersatu.
Ketuanya, Dr. Wan Mat Sulaiman berkata, keputusan tersebut diterima dengan penuh reda dan keyakinan bahawa ia merupakan langkah terbaik demi memastikan agenda ta‘awun siyasi Islam-Melayu yang lebih luas dapat diteruskan.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan analisis laporan dan kajian terhadap perkembangan politik semasa, selain mengambil kira matlamat asal penubuhan kerjasama politik dalam Perikatan Nasional (PN).
“Kerjasama PAS, Bersatu dan juga parti-parti lain dalam PN adalah berdasarkan prinsip ta‘awun siyasi, yang bermatlamat untuk membentuk kerjasama dan gabungan politik Islam-Melayu yang lebih luas.
“Apabila didapati Bersatu menjadi penghalang kepada usaha ini dengan menolak kemasukan parti Melayu-Islam lain ke dalam PN, maka matlamat utama ta‘awun siyasi terhalang,” jelasnya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau mendakwa tindakan Bersatu menolak kemasukan parti-parti Melayu-Islam lain ke dalam PN telah menjadi penghalang kepada agenda perpaduan ummah yang diperjuangkan PAS.
Tambahnya, dari sudut fiqh siyasi, kerjasama politik hendaklah berasaskan semangat saling membantu, menghormati dan membuat keputusan bersama demi kepentingan bersama.
“Apabila konsep ta‘awun ini dilanggar sepertimana yang berlaku di Perlis dan Negeri Sembilan, ia sekali lagi telah merungkai tali ikatan ta‘awun siyasi tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, dalam konteks siasah syar‘iyyah juga, konsep ta‘awun siyasi adalah berbentuk fleksibel, strategik dan terbuka yang diikat dengan matlamat utama bersama atau maslahat umum, demi membina kekuatan perpaduan Islam yang lebih luas dan demi kebaikan bersama.
“Namun, apabila dilihat dengan bukti yang nyata dan jelas bahawa matlamat ini diabaikan, apatah lagi apabila keputusan tersebut jelas memberi kesan negatif dan buruk kepada rakan ta‘awun, maka wajar dibuat penilaian semula,” katanya.
Dr. Wan Mat turut menegaskan bahawa PAS tidak pernah berganjak daripada agenda penyatuan Islam-Melayu yang menjadi teras perjuangan parti itu sejak era Muafakat Nasional lagi.
“Agenda besar PAS dalam menjalinkan kerjasama politik dengan prinsip ta‘awun siyasi bersama parti-parti lain ialah bagi mengelakkan perpecahan Islam-Melayu dan membina perpaduan sepertimana yang dimaktubkan dalam Muafakat Nasional sebelum ini,” tambahnya.
Ujarnya lagi, PAS tak pernah berganjak dari agenda perpaduan ummah ini, malah banyak berkorban demi menuju ke arah matlamat besar ini.
“Ketika mana berada dalam MN, PAS sentiasa mengalu-alukan rakan ta‘awun lain selain Umno ketika itu termasuk Bersatu.
“Begitu jugalah sekarang dalam PN, PAS tetap dengan prinsip yang sama, mengalu-alukan parti Melayu lain bersama bagi menguatkan agenda perpaduan ini,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli dan pendukung PAS agar menerima keputusan parti dengan jiwa besar, penuh wala’ dan thiqah terhadap kebijaksanaan kepimpinan.
“Insya-Allah, segala keputusan yang dibuat adalah selari dengan prinsip perjuangan Islam dan kepentingan penyatuan ummah.
“Moga PAS terus melangkah bersama rakan ta‘awun lain demi membina perpaduan politik Islam-Melayu yang merupakan kaum bumiputera yang majoriti di bumi Malaysia ini,” tambah Dr Wan.





























