Golongan Muda Penentu Masa Depan Politik dan Kekuatan PAS

32

KUALA TERENGGANU – Golongan muda memainkan peranan amat penting dalam menentukan hala tuju politik negara, terutama selepas peningkatan sokongan pengundi muda yang ditunjukkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Sri Abdul Hadi Awang berkata, perkembangan media sosial telah mengubah landskap penyebaran maklumat sehingga membolehkan generasi muda memperoleh maklumat dengan lebih cepat dan terbuka berbanding sebelum ini.

“Peranan orang muda ini sangat besar kerana mereka kuat, gagah dan segar. Perjuangan yang kita bawa juga memerlukan kesinambungan jangka panjang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program HIMPIT 2026 di Pantai Air Tawar pada 5 Jun, Jumaat

Ustaz Abdul Had turut menegaskan bahawa penglibatan generasi muda penting bagi memastikan perjuangan parti tidak terhenti di pertengahan jalan dan mampu diteruskan oleh pelapis pada masa hadapan.

Justeru itu, beliau menambah kekuatan dan komitmen golongan muda menjadi aset penting untuk mengekalkan momentum perjuangan politik dan menghadapi cabaran yang mendatang.

Sementara itu, tambah beliau, PAS bukanlah sebuah parti yang muncul secara tiba-tiba, sebaliknya ia adalah penyambung mata rantai perjuangan Islam di Nusantara yang tidak pernah putus sejak zaman kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka.

Katanya, PAS sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti lain dengan syarat ia memberi ruang kepada PAS untuk berdakwah, menghapuskan maksiat dalam kerajaan (seperti arak dan judi), dan melaksanakan Islam secara berperingkat tanpa menggadaikan prinsip asas negara Islam.

“Ahli PAS dinasihatkan tidak mudah mengkafirkan atau menghukum orang Islam yang masih jahil tentang agama, sebaliknya perlu terus memujuk dan mendidik mereka dengan penuh hikmah.

“Pahala memberi hidayah dan menyelamatkan seseorang untuk kembali kepada Islam adalah jauh lebih besar daripada harta dunia,” tambah beliau