PASTI Terengganu Tegas Anugerah Tulin

53
Fauzi Mamammad

KUALA TERENGGANU – PASTI Terengganu menegaskan pengiktirafan antarabangsa yang diterima adalah Tulin dan bukan diperoleh melalui pembayaran yuran penyertaan, sebaliknya berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap pencapaian dan kualiti pengurusan organisasi.

Pengarah PASTI Terengganu, Fauzi Mahammad berkata, yuran penyertaan yang dikenakan adalah perkara biasa bagi mana-mana persidangan, seminar atau program pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Menurutnya, pembayaran yuran tidak menjamin kemenangan atau penerimaan anugerah kerana setiap peserta perlu melalui proses penilaian yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

“Yuran penyertaan memang ada kerana ia sebuah persidangan antarabangsa. Itu perkara biasa seperti Malaysia Book of Records, Alam Ria, HIMPIT atau mana-mana pertandingan dan seminar.

“Namun anugerah bukan dibeli melalui yuran, sebaliknya diberikan berdasarkan penilaian dan pencapaian yang ditetapkan oleh pihak penganjur,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, PASTI Terengganu telah melalui proses pencalonan dan penghantaran profil organisasi sebelum dinilai oleh panel penganjur berdasarkan beberapa kriteria utama.

Katanya, aspek dinilai termasuk pengurusan organisasi, pembangunan guru, inovasi pendidikan, transformasi digital dan impak pendidikan yang diberikan kepada masyarakat.

“Alhamdulillah, kami melalui proses pencalonan, penghantaran profil organisasi dan penilaian oleh pihak penganjur berdasarkan aspek pengurusan, pembangunan guru, inovasi, transformasi digital dan impak pendidikan.

“PASTI Terengganu akhirnya terpilih menerima pengiktirafan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, pengiktirafan itu menjadi bukti kepada komitmen berterusan warga PASTI Terengganu dalam memperkukuhkan sistem pendidikan prasekolah Islam yang berkualiti dan memenuhi keperluan semasa.