Program Korban Jadi Medium PAS Besut Dekati Masyarakat Pulau Perhentian

34

BESUT – Program korban yang dianjurkan PAS Kawasan di Pulau Perhentian bukan sahaja bertujuan melaksanakan ibadah korban, malah menjadi platform untuk mendekati masyarakat setempat dan memperkukuhkan hubungan dengan penduduk pulau.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Haji Mohd Norkhuzaini Ab Rahman berkata, program tersebut memberi peluang kepada pimpinan dan petugas PAS untuk menyantuni penduduk secara langsung melalui aktiviti ziarah dan pengagihan daging korban dari rumah ke rumah.

Menurut beliau, walaupun PAS berjaya memperoleh sokongan majoriti pengundi di kawasan itu pada pilihan raya lalu, masih terdapat sebahagian masyarakat yang belum mengenali parti berkenaan secara dekat.

“Melalui program seperti ini, masyarakat dapat melihat sendiri bahawa PAS Kawasan Besut dan pusat khidmat masyarakat sentiasa cakna terhadap kebajikan penduduk.

“Ada penduduk yang masih belum mengenali PAS dengan lebih dekat. Jadi program sebegini memberi ruang untuk kita berkenalan dan membina hubungan yang lebih erat dengan masyarakat,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, katanya, hampir 400 beg daging korban berjaya diagihkan kepada penduduk setempat dengan keutamaan diberikan kepada penghuni rumah yang berada di lokasi, manakala selebihnya diserahkan kepada jawatankuasa PAS cawangan untuk diagihkan.

Menurut beliau, sambutan yang diberikan penduduk terhadap program tersebut amat menggalakkan apabila ramai menerima kunjungan petugas dengan baik dan menghargai usaha dilakukan.

Dalam pada itu, Norkhuzaini berkata PAS Besut bercadang menjadikan program seumpama itu sebagai acara berkala di beberapa lokasi lain mengikut kesesuaian dan keperluan semasa.

“Apabila masyarakat mula mengenali kita dengan lebih dekat, hubungan yang terjalin akan menjadi lebih baik.

“Kita berharap usaha mendekati rakyat secara berterusan ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan mengukuhkan lagi hubungan yang sedia ada,” katanya.