Oleh ; Musfirah
KUALA TERENGGANU – Sebanyak enam ekor lembu dan dua ekor kerbau telah dikorbankan sempena Program Korban Perdana Peringkat DUN Batu Buruk yang berlangsung meriah dengan penglibatan pelbagai pihak dalam suasana penuh semangat gotong-royong dan ukhuwah.
Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program tersebut bukan sahaja memenuhi tuntutan ibadah korban sempena Aidiladha, malah menjadi medium penting dalam menyemai semangat kebersamaan, keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, penglibatan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Muslimat, Pemuda, Ameerah serta sukarelawan dalam program itu mencerminkan kekuatan nilai perpaduan dan kerjasama yang terus subur dalam komuniti.
“Program seperti ini memberi peluang kepada semua pihak untuk berganding bahu dalam suasana penuh ukhuwah serta memastikan golongan yang memerlukan turut merasai nikmat dan keberkatan Aidiladha.


“Semangat gotong-royong yang ditunjukkan hari ini membuktikan bahawa nilai perpaduan dan kerjasama terus kukuh dalam kalangan mereka yang terlibat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Program yang diadakan bersempena sambutan Aidiladha itu menghimpunkan JPKK, Muslimat, Pemuda, Ameerah serta jawatankuasa pelaksana yang hadir seawal pagi bagi bersama-sama menjayakan ibadah korban serta membantu urusan penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban.
Selain menjadi medan melaksanakan tuntutan syariat, program berkenaan turut mengeratkan hubungan silaturahim antara jawatankuasa penganjur dan pelbagai pihak yang terlibat, sekali gus memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam melaksanakan agenda kebajikan masyarakat.
Daging korban yang diperoleh kemudiannya diagihkan kepada seluruh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan DUN Batu Buruk untuk disampaikan kepada penerima di kawasan masing-masing agar manfaat serta keberkatan ibadah korban dapat dirasai bersama oleh seluruh lapisan masyarakat.


Dr. Muhammad Khalil turut merakamkan penghargaan kepada seluruh petugas, jawatankuasa penganjur, sukarelawan, JPKK, Muslimat, Pemuda dan Ameerah yang telah bertungkus-lumus membantu memastikan perjalanan program berjalan lancar dari awal hingga selesai.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan sebagai platform memperkukuhkan hubungan masyarakat serta memperluaskan agenda kebajikan kepada golongan yang memerlukan.
“Semoga segala pengorbanan, sumbangan dan usaha yang dicurahkan oleh semua pihak diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT, dikurniakan keberkatan rezeki serta menjadi asbab kepada kesejahteraan dan perpaduan masyarakat di DUN Batu Buruk,” katanya.




























