Korban Perdana DMPKB Perkukuh Kebajikan dan Ukhuwah Masyarakat

77

Oleh ; Amira Amijuddin

BESUT – Korban Perdana anjuran Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Kawasan Besut (DMPKB) memperkukuh kebajikan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Ketuanya, Rosimah Salleh berkata, program korban perdana itu merupakan penganjuran kali ketiga dilaksanakan oleh pihak lajnah dan diharap dapat diteruskan sebagai agenda tahunan.

“Ini merupakan tahun ketiga kita mengadakan program korban perdana ini. Harapan kami semoga Allah SWT permudahkan segala urusan untuk menjadikan program korban ini sebagai agenda tahunan Lajnah Kebajikan DMPKB,” jelasnya.

Beliau berkata, ibadah korban dua ekor lembu tersebut bukan sahaja menghidupkan syiar Islam dan menghayati erti pengorbanan sempena Aidiladha, malah menjadi platform mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.

“Korban bukan sekadar penyembelihan haiwan, tetapi lambang ketaatan, keikhlasan dan kesediaan berkorban demi agama serta membantu insan lain yang memerlukan,” ujarnya ketika ditemui di tapak program, Kompleks Pendidikan & Dakwah Islamiyyah Malaysia (KODIM), semalam

Selain itu, menurutnya amalan korban mendidik masyarakat supaya terus menyemai sifat prihatin, berkongsi rezeki dan memperkukuhkan hubungan silaturahim tanpa mengira latar belakang.

“Apabila masyarakat berganding bahu dalam program seperti ini, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penerima korban, malah menghidupkan budaya tolong-menolong dan kasih sayang dalam komuniti,” tambah beliau.

Rosimah turut menegaskan bahawa ibadah korban perlu dijadikan medan tarbiah bagi melahirkan masyarakat yang lebih bersyukur, pemurah dan sentiasa mendahulukan kepentingan ummah.

“Semangat pengorbanan yang ditunjukkan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS sewajarnya menjadi contoh kepada umat Islam dalam menghadapi cabaran kehidupan serta mendidik jiwa supaya sentiasa taat kepada perintah Allah SWT,” jelasnya.

Tambahnya, program seumpama itu juga mampu mendekatkan masyarakat dengan institusi dakwah dan kebajikan yang sentiasa berusaha membantu golongan memerlukan.

“Walaupun program ini dilaksanakan secara sederhana, namun nilai pengorbanan, perpaduan dan kasih sayang yang lahir daripadanya amat besar maknanya kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga dan harta demi memastikan kelancaran program berkenaan.

“Semoga segala usaha dan pengorbanan para penyumbang, petugas serta semua yang terlibat dikurniakan ganjaran berlipat ganda dan sentiasa dimurahkan rezeki oleh Allah SWT,” ujarnya.