PAS Marang Lulus Usul Kaji Semula Hubungan Dengan Bersatu

170

MARANG – PAS Kawasan Marang meluluskan usul menyokong PAS Pusat mengkaji semula hubungan politik parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), susulan beberapa perkembangan yang didakwa mencalar semangat setia kawan dalam Perikatan Nasional (PN).

Usul yang dibawa Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin itu menegaskan PAS tidak wajar terus menjadi parti paling banyak berkorban, tetapi paling sedikit dihormati dalam kerjasama politik.

Menurut Irsyad Syafiq, PAS selama ini telah menunjukkan sikap matang, sabar dan setia kawan dalam hubungan bersama Bersatu atas nama penyatuan ummah, kestabilan politik dan kepentingan rakyat.

Namun katanya, kesabaran PAS tidak boleh dianggap sebagai kelemahan.

“Kesabaran bukan lesen untuk dipijak. Setia kawan bukan bermaksud PAS perlu sentiasa mengalah.

“Ukhuwah politik bukan tiket untuk satu pihak mengambil untung, manakala PAS menanggung luka,” katanya ketika membentangkan usul tersebut.


Irsyad Syafiq berkata, PAS perlu menilai sama ada hubungan dengan Bersatu benar-benar memberi nilai tambah kepada perjuangan, atau hanya menjadikan PAS sebagai tangga politik pihak lain.

Katanya, PAS mempunyai kekuatan akar umbi, jentera pilihan raya, disiplin parti dan pengaruh Melayu-Islam yang telah lama terbina.

Sebaliknya, beliau menyifatkan Bersatu banyak bergantung kepada gelombang semasa, tokoh tertentu dan ruang politik yang berubah-ubah.

“Kalau setiakawan hanya disebut ketika memerlukan jentera PAS, tetapi dilupakan ketika waktu lain, itu bukan lagi kerjasama. Itu mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau turut membangkitkan beberapa perkembangan di Perlis, Kedah dan Negeri Sembilan yang menurutnya menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli PAS akar umbi.

Di Perlis, katanya, krisis politik yang dikaitkan dengan tindakan beberapa wakil rakyat PN termasuk daripada Bersatu terhadap kepimpinan Menteri Besar PAS tidak boleh dipandang ringan.

Irsyad turut merujuk kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, bahawa PAS sedang menilai semula hubungan dengan Bersatu dan bahawa ‘sabar ada batas’.

Menurutnya, kenyataan itu menjadi isyarat bahawa PAS tidak boleh selama-lamanya diminta berlapang dada apabila semangat setia kawan dicabar.

“PAS membawa disiplin jemaah, kekuatan akar umbi dan jentera pilihan raya.

“Tetapi apabila berlaku isu, nama gabungan terpalit. Apabila berlaku percaturan kuasa, PAS diminta bersabar. Apabila perebutan kerusi berlaku, PAS pula diminta memberi laluan,” katanya.

Justeru, Irsyad Syafiq menyokong usaha PAS mengkaji semula hubungan dengan Bersatu di semua peringkat, termasuk pusat, negeri, kawasan dan jentera pilihan raya.

Beliau turut mencadangkan supaya PAS menilai sama ada Bersatu masih wajar dianggap rakan strategik utama, atau hanya rakan pilihan raya yang perlu diurus secara bersyarat.

Selain itu, katanya, PAS perlu meletakkan garis merah dalam kerjasama politik, termasuk tidak membenarkan sebarang tindakan menjatuhkan kepimpinan PAS di negeri yang dipimpin parti itu, mencantas pengaruh PAS secara senyap atau membuat rundingan belakang yang merugikan PAS.

Bagaimanapun, Irsyad menegaskan usul itu bukan desakan untuk memutuskan hubungan secara tergesa-gesa.

Sebaliknya, katanya, ia adalah seruan supaya PAS meletakkan semula maruah perjuangan di tempat yang betul.

“PAS tidak anti-kerjasama. PAS tidak menolak strategi.

“Tetapi PAS menolak hubungan berat sebelah, politik tikam belakang, budaya kawan makan kawan dan sikap hanya mengingati PAS ketika memerlukan sokongan,” katanya.

Beliau menegaskan, PAS mesti menjadi parti pemimpin, bukan parti penumpang.

“Setia kawan bukan jalan sehala. Kerjasama bukan lesen untuk mengkhianati. Sabar ada batas. Maruah PAS bukan bahan uji kaji politik sesiapa,” katanya.