56 Ekor Lembu Korban Dalam DUN Bukit Besi

36

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 56 ekor lembu akan dikorbankan dalam Program Korban Perdana di DUN Bukit Besi, yang akan dilaksanakan di empat lokasi sekitar kawasan berkenaan sempena Aidiladha nanti.

Pengarah MTD Bukit Besi, YB Haji Ghazali Sulaiman berkata, program yang memasuki penganjuran kali ketiga itu turut menyediakan 700 beg beras untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

“Setiap penerima akan menerima “sekampit beras dan seplastik daging” menerusi agihan kupon yang diedarkan lebih awal sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Kupon akan diedarkan dari rumah ke rumah khusus kepada golongan miskin dan mereka boleh menebus daging korban bermula jam 12 tengah hari pada hari raya,” jelasnya.

YB Haji Ghazali Sulaiman

Beliau berkata demikian ketika dihubungi hari ini.

Ghazali berkata, program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama pihak surau dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan agihan berjalan lancar dan tersusun.

Antara lokasi yang terlibat bagi pelaksanaan korban ialah Surau Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Surau Seren Bukit Besi dan Padang Bola Felda Jerangau.

Katanya lagi, program itu bukan sahaja menyemarakkan ibadah korban malah menjadi medium mengeratkan hubungan masyarakat dan membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan menjelang Aidiladha.