Oleh : Siti Sopiah Sulaiman
HULU TERENGGANU – Ahli dan penyokong PAS wajib memperkukuh ukhuwah dan kesatuan bagi mempertahankan kemenangan ‘total’, pada pilihan raya Umum (PRU) akan datang.
Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, YB Ustaz Maliaman Kassim berkata, pencapaian besar pada PRU15 lalu adalah hasil kerja dan kebergantungan spiritual yang kuat kepada Allah.
Menurut beliau, sejarah telah membuktikan bahawa kejatuhan sesebuah kerajaan dan organisasi politik sering berpunca daripada perpecahan dan alpa atas nikmat kemenangan yang dikurnia.


“Kita kena ingat, pengajaran penting yang perlu diambil adalah jangan biarkan perkara sama berlaku kepada jemaah kita,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Muslimat PAS Kawasan Hulu Terengganu kali ke-42 di Kubang Lembek, di sini semalam.
Oleh itu, beliau yang juga ADUN Ajil, menggesa ahli parti khususnya Muslimat supaya mengetepikan isu-isu remeh yang boleh mencetuskan pergeseran dan menjaga perpaduan .


“Apa yang kita perolehi hari ini adalah hasil kerja keras jentera Muslimat, Ameerah, Pemuda dan Muslimin.
“Jangan biarkan kemenangan ini terlepas daripada genggaman kerana untuk mendapatkannya semula bukan satu perkara yang mudah,” ujarnya.
Tambah beliau, pengalaman puluhan tahun lalu perlu dijadikan sempadan dan teladan agar generasi akan datang terus dapat meneruskan perjuangan dalam suasana harmoni dan kukuh.
Justeru beliau berharap aspek tarbiyah dan perubahan sikap terus diperkasa sebagai wasilah penyelesaian demi memastikan hala tuju dan parti kekal kuat.





























