KUALA TERENGGANU – Parti-parti Melayu dalam kerajaan kini disifatkan tidak bertanggungjawab dan mengkhianati orang-orang Melayu dengan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Isa yang melahirkan rasa kecewa kerana Umno dan Keadilan yang merupakan sebahagian daripada kerajaan merestui atau tidak mampu nenghalang.
“Kesimpulannya, parti Melayu dalam kerajaan sekarang haprak?!,” tempelaknya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Ustaz Harun, UEC merupakan sijil peperiksaan yang digunakan oleh pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) di Malaysia.
“Namun, pengiktirafannya untuk kemasukan ke universiti awam terus menjadi polemik kerana dikatakan tidak selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan,” katanya kecewa.
Katanya, UEC tidak berada dalam sistem pendidikan kebangsaan Malaysia kerana banyak sekolah persendirian Cina menggunakan silibus sendiri dan bukan kurikulum kebangsaan sepenuhnya
“Persoalan yang besar, kenapa perlu dan kenapa DAP bersungguh hendak guna Sijil UEC?,
“Kalau jujur sebagai rakyat Malaysia kenapa tidak guna Sijil Pelajaran Malaysia SPM? ,” katanya yang mempertikaikan kewajaran pengiktirafan UEC .
Tambah nya, Universiti awam dibiayai kerajaan dan sepatutnya mengutamakan pelajar daripada sistem nasional seperti SPM, STPM atau matrikulasi.
Beliau juga turut bimbang dengan nasib bahasa Melayu kerana antara syarat utama universiti awam ialah penguasaan Bahasa Melayu.
“Kebanyakan pelajar UEC yang tidak mengambil atau tidak mencapai standard Bahasa Melayu setanding SPM, ini bercanggah dengan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menurut Perkara 152 Perlembagaan,” luahnya.





























