Isu UEC; Sikap Kerajaan Madani Bukan Pintu Malapetaka

71

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) memandang serius dan membidas sekeras-kerasnya sikap serta kecelaruan Kerajaan dalam isu kemasukan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Pengumuman kelulusan Kabinet pada hari Khamis yang lalu jelas membuktikan pentadbiran ini tidak bertegas, tidak mempunyai hala tuju dasar yang jelas, dan hanya membuat keputusan secara semberono.

2. ​Tindakan cuba menyelitkan dan mencampuradukkan pengiktirafan UEC bersama-sama dengan lepasan institusi tahfiz adalah satu helah kosmetik yang sangat dangkal. DUPP menegaskan bahawa sebarang bentuk pengiktirafan terhadap UEC adalah bercanggah dengan semangat Dasar Pendidikan Kebangsaan dan bakal membuka pintu malapetaka buat masa depan negara.

3. ​Hakikatnya, sistem pendidikan yang bersifat ‘multipolar’ atau pelbagai aliran terbukti telah gagal menjadi medium penyatuan. Lihatlah sendiri realiti pada hari ini, perpaduan rakyat gagal dipupuk dari rebung, manakala kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa penyatuan terus gagal diperkasa di sekolah-sekolah aliran jenis kebangsaan. Hal ini secara langsung terus melebarkan jurang sosial dan menggagalkan usaha asimilasi serta penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.

4. ​Islam amat menitikberatkan soal kesatuan dan mencegah sebarang anasir yang boleh membawa kepada perpecahan umat dan negara. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Anfal, ayat 46:
{ وَأَطِیعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفۡشَلُوا۟ وَتَذۡهَبَ رِیحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ }

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu…”

5. ​Selain itu, kaedah Fiqh menggariskan:

درء المفاسد مقدم عل: جلب المصالح
Maksudnya: “Menolak kerosakan (mafsadah) adalah lebih diutamakan daripada mengambil kemaslahatan”

6. Langkah mengiktiraf sistem yang meminggirkan dasar kebangsaan pastinya membawa mafsadah (kerosakan) yang jauh lebih besar kepada kerukunan hidup bermasyarakat dan kelestarian identiti negara berbanding sedikit manfaat politik yang cuba diraih oleh pihak tertentu.

7. ​Oleh yang demikian, DUPP menggesa Kerajaan untuk segera bertegas dan menghentikan agenda mengarut pengiktirafan UEC ini. Jangan gadaikan masa depan kedaulatan identiti negara hanya kerana tunduk kepada tekanan rakan politik tertentu.

8. ​DUPP juga menyeru seluruh rakyat Malaysia, badan-badan bukan kerajaan (NGO), para cendekiawan, serta seluruh pencinta pendidikan negara untuk bangkit bersatu menentang cadangan mengarut ini. Kita tidak boleh berdiam diri melihat sistem pendidikan negara dan masa depan anak bangsa dirosakkan oleh percaturan politik yang sempit. Sekiranya kerajaan tetap berdegil melaksanakan agenda dari pihak-pihak tertentu ini, satu gerakan selaras undang-undang mesti diambil terhadap keputusan yang membelakangkan perlembagaan ini.

​”Kembali Kepada Penyelesaian Islam”

​YB USTAZ DATO’ MOHD NOR BIN HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

15 Mei 2026 Miladi bersama 27 Zulkaedah 1447 Hijri