KUALA TERENGGANU – Politik matang dan perpaduan rakyat menjadi tuntutan utama demi memastikan masa depan negara lebih stabil, harmoni dan diyakini rakyat ketika berdepan tekanan ekonomi serta cabaran semasa.
Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan berkata, rakyat kini tidak lagi mahu melihat politik lama yang memainkan sentimen kaum dan agama sehingga memecah-belahkan masyarakat.
Menurut beliau, PAS dan Perikatan Nasional (PN) perlu dilihat bukan sekadar sebagai pembangkang, sebaliknya alternatif pentadbiran yang matang, stabil dan mempunyai hala tuju jelas demi masa depan negara.
“Rakyat mahukan kepimpinan yang mendengar, memahami dan berani membawa perubahan demi masa depan negara,” katanya ketika berucap dalam program Ceramah Perdana Rakyat Bangkit di Waterfront Pulau Kambing, semalam.


Katanya, rakyat ketika ini semakin tertekan dengan peningkatan kos sara hidup termasuk harga barang, makanan, perkhidmatan dan keperluan harian yang terus meningkat.
Menurut beliau, golongan anak muda pula mengharapkan masa depan lebih jelas melibatkan peluang pekerjaan berkualiti, pendidikan yang baik serta kehidupan lebih stabil.
Beliau berkata, politik negara tidak boleh terus dibina atas budaya fitnah, kebencian dan penghinaan, sebaliknya memerlukan pendekatan matang yang mampu membawa penyelesaian kepada rakyat.


Tambah beliau, Malaysia memerlukan kepimpinan yang stabil, bersih dan benar-benar fokus kepada penyelesaian isu rakyat, bukannya politik yang dipenuhi persepsi, propaganda serta perebutan kuasa semata-mata.
“Rakyat sedang memerhati. Rakyat mahukan perubahan yang membawa harapan, kestabilan dan masa depan lebih baik untuk generasi akan datang,” tambah Dr Bala.





























